IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin memperkenankan seramai 625 warga pendidik dan guru diberikan penghormatan menjadi khatib jemputan dan membacakan khutbah Jumaat di masjid serta surau diri Jumaat seluruh negeri.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, ia sebagai perkenan baginda bagi menghargai dan mengiktiraf peranan serta sumbangan penting warga pendidik dan guru kepada rakyat dan negara.
Katanya, khutbah Jumaat bertajuk ‘Guru Berhikmah Membina Insan Sejahtera’ itu akan dibacakan bersempena dengan sambutan Hari Guru yang akan disambut pada 16 Mei.
“Jabatan Pendidikan Negeri Perak telah mengemukakan 625 nama warga pendidik dan guru yang telah diangkat sembah kepada Sultan Perak dan mendapat perkenan baginda untuk menaiki mimbar membaca khutbah.
“Susulan titah perkenan tersebut, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Azam Ahmad, akan mengetuai warga pendidik dan guru untuk menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Negeri Perak, Masjid Sultan Idris Shah II,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, selain itu Pengarah Bahagian Pendidikan Islam di Kementerian Pendidikan Malaysia, Omar Salleh akan membaca khutbah di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, sementara guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Merchu, Samad Hassan di Masjid Ubudiah Kuala Kangsar.
Dalam pada itu Mohd Annuar berkata, sempena sambutan Hari Guru, Jabatan Pendidikan turut menganjurkan program pengimarahan masjid di Masjid Negeri Perak yang akan melibatkan 2,000 orang pelajar dan warga pendidikan.
“Program motivasi kerohanian murid akan bermula pada jam 10.20 pagi, disusuli dengan acara bacaan Surah Yasin, tahlil dan doa selamat.
“Sultan Perak berkenan berangkat untuk menunaikan Solat Jumaat bersama pelajar dan warga pendidikan di Masjid Sultan Idris Shah II pada 15 Mei,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin perkenan 94 belia sampaikan khutbah Jumaat


