IPOH – Pertambahan tempoh cuti bersalin yang diumumkan kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2027 mampu memberi ruang kepada ibu untuk pulih selepas melahirkan anak, selain menambah baik soal menguruskan penjagaan bayi.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, tempoh cuti yang lebih panjang juga dapat membantu khususnya golongan ibu muda menyesuaikan diri dengan tanggungjawab menjaga anak.
Menurutnya, langkah itu juga berpotensi memberi galakan kepada pasangan untuk menambah ahli keluarga ketika negara terutama negeri Perak, berdepan cabaran populasi menua.

“Sekurang-kurangnya, ibu-ibu muda mempunyai ruang untuk mendapatkan penjagaan anak dan pulih selepas bersalin sekiranya tempoh cuti sebelum ini terhad.
“Mungkin tempoh tambahan itu dapat memberi rangsangan untuk menambah ahli keluarga, lebih-lebih lagi apabila kita berdepan isu populasi menua,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Sukan Negara 2026 di pekarangan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak, di sini, pada Sabtu.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2027, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan jumlah kelayakan cuti bersalin sepanjang tempoh perkhidmatan daripada 360 hari kepada 490 hari.
Media melaporkan, ia bermakna, kadar cuti bersalin meningkat kepada maksimum 98 hari bagi setiap kelahiran.
Mengulas lanjut Salbiah berkata, kadar kesuburan di Perak dianggarkan sekitar 1.6 anak bagi setiap wanita, sekali gus menunjukkan kepentingan terhadap kerajaan dalam memberi perhatian terhadap isu berkenaan.
Dalam pada itu, Salbiah menyambut baik pengumuman peruntukan berkaitan ekonomi penjagaan, termasuk latihan tenaga kerja dalam sektor penjagaan warga emas.
Kata beliau, pelbagai inisiatif yang diumumkan kerajaan Persekutuan, termasuk sokongan kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi, mampu memberi kesan positif sekiranya dimanfaatkan sepenuhnya oleh kumpulan sasar.
Salbiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, di bawah Parlimen Gerik turut menyambut baik cadangan pembinaan Kompleks Kesihatan Bersepadu Gerik yang disifatkan dapat memudahkan penduduk mendapatkan rawatan pakar.
“Penduduk di kawasan berkenaan selama ini terpaksa ke Taiping atau Ipoh bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan pakar.
“Justeru, saya amat mengalu-alukan pembinaan kompleks kesihatan itu dan berharap projek berkenaan dapat direalisasikan dengan kadar segera,” katanya.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairuddin Abu Hanipah menyambut baik kelulusan pembinaan bangunan baharu bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Chemor di sini.
Beliau berkata, selama ini sekolah berkenaan berdepan masalah kepadatan murid dan keadaan bangunan yang uzur.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan yang baik, khususnya kelulusan pembinaan sekolah baharu di Perak serta peruntukan-peruntukan di bawah sektor pendidikan, pengajian tinggi, belia dan sukan,” jelasnya. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Kos sara hidup, ekonomi punca golongan muda tangguh kahwin, miliki anak


