Indonesia belum jawab tawaran bantuan padam kebakaran – Zahid

IPOH – Malaysia masih belum menerima maklum balas daripada Indonesia berhubung tawaran bantuan bagi memadamkan kebakaran di Kalimantan dan Sumatera yang mencetuskan jerebu rentas sempadan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tawaran itu dikemukakan ketika beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka semasa lawatan rasmi ke Jakarta baru-baru ini.

Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Luar turut menghantar surat kepada rakan sejawat masing-masing di Indonesia, namun masih belum menerima sebarang respon.

“Setakat ini tidak ada respons (daripada Indonesia) untuk kita membantu mereka. Kita ucapkan terima kasih kerana kita menawarkan (bantuan) dengan ikhlas tapi belum mendapat jawapan lagi.

“Kita bersangka baik yang mungkin mereka tidak memerlukan bantuan kita, saya bersangka baik, ‘husnuzon’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Peluncuran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Ketua Pengarah NADMA, Datuk Meor Ismail Meor Akim.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi NADMA berkata, Malaysia menawarkan bantuan berupa sebuah pesawat, tiga helikopter dan 55 anggota bagi membantu operasi pemadaman kebakaran di wilayah terbabit.

Sementara itu, mengulas kemungkinan tindakan perundangan berhubung isu jerebu rentas sempadan, beliau berkata perkara itu boleh diteliti Jabatan Peguam Negara (AGC) sekiranya perlu.

Beliau menegaskan pendekatan melalui kerjasama dan penyelarasan antara negara serantau perlu diberi perhatian bagi menangani isu berkenaan, selaras dengan semangat ASEAN.

“Tidak ada perbalahan antara Malaysia dengan Indonesia, dan kita serahkan kepada AGC untuk meneliti jika perlu dan jika ada.

“ Atas semangat ASEAN koordinasi (penting) untuk mengelakkan perkara ini (adalah) lebih baik, prevention is better than cure (mencegah lebih baik daripada mengubati),” katanya lagi. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Jerebu Perak: Penutupan sekolah Isnin ini bergantung bacaan IPU

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI