IPOH – Keputusan sama ada terdapat sekolah lain di negeri Perak akan ditutup pada Isnin ini susulan situasi jerebu bergantung pada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan pada Ahad.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairuddin Abu Hanipah berkata, penutupan sekolah akan dilaksanakan sekiranya terdapat daerah yang masih mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
Katanya, pengumuman berhubung keputusan itu dijangka dibuat seawal jam 3 petang dan ke atas pada Ahad.
“Bagi sesi persekolahan pada Isnin, bacaan IPU akan diambil pada Ahad dan sekiranya ada lagi daerah yang mencatatkan IPU tidak sihat, sudah pasti proses penutupan sekolah akan dilaksanakan.
“Perkara paling penting adalah untuk kita memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak murid di daerah terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Sukan Negara 2026 di pekarangan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Mohd Nizam Ismail.
Sementara itu, Khairuddin berkata, sesi pembelajaran murid yang terjejas dengan penutupan sekolah susulan jerebu akan diteruskan seperti biasa menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Jelas beliau, Jabatan Pendidikan Negeri Perak telah membuat persediaan bagi memastikan pelaksanaan pembelajaran dari rumah dapat berjalan lancar sekiranya penutupan sekolah dilaksanakan.
Pada Jumaat media melaporkan, semua sekolah di daerah Kinta dan Kuala Kangsar ditutup serta-merta selepas bacaan IPU mencecah 180, iaitu pada tahap tidak sihat.
Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar dilaporkan berkata, bacaan berkenaan direkodkan di stesen pemantauan kualiti udara CA11A di Tasek, Ipoh, pada jam 11 pagi Jumaat.
Penutupan itu melibatkan 362 sekolah dan 154,404 murid di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara, PPD Kinta Selatan dan PPD Kuala Kangsar.
PPD Kinta Utara mencatatkan jumlah tertinggi dengan 163 sekolah terjejas membabitkan 96,632 murid. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Jerebu: Semua sekolah di Kinta, Kuala Kangsar ditutup serta-merta


