IPOH – Semua sekolah di daerah Kinta dan Kuala Kangsar diarahkan tutup serta-merta susulan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat akibat jerebu di negeri Perak, pada Jumaat.
Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar berkata, arahan itu dikeluarkan selepas stesen pemantauan kualiti udara di Tasek merekodkan bacaan IPU 180 setakat jam 11 pagi.
Beliau berkata, penutupan itu membabitkan semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Kinta Utara, Kinta Selatan dan Kuala Kangsar.
“Sehubungan itu, semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara, Kinta Selatan dan Kuala Kangsar ditutup mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Zulkafli berkata, susulan penutupan itu, pihak sekolah perlu melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan pembelajaran murid dapat diteruskan sepanjang tempoh berkenaan.
Kata beliau, sementara guru dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) pula diarahkan melaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR), tertakluk kepada arahan serta keperluan semasa.
Dalam pada itu Zulkafli berkata, ibu bapa dan penjaga diminta mengikuti perkembangan serta makluman rasmi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dari semasa ke semasa, khususnya berhubung tarikh pembukaan semula sekolah.
“Mereka juga dinasihatkan tidak membuat sebarang andaian berkaitan pembukaan sekolah dan hanya merujuk kepada makluman rasmi JPN Perak,” ujarnya.
Kata beliau, PPD terlibat turut diminta memastikan maklumat penutupan disampaikan kepada semua sekolah, institusi pendidikan, guru, AKP, ibu bapa, penjaga dan murid di daerah masing-masing.
“Pihak sekolah juga perlu terus memantau keadaan semasa serta mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta seluruh warga pendidikan sepanjang tempoh penutupan” katanya lagi. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Jerebu: Perak pantau IPU, sedia laksana PdPR jika sekolah terpaksa ditutup


