TAPAH – Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir tidak menjangkakan bahawa nama beliau dipilih mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Mohamad Yusri, 53, berkata, justeru beliau merakamkan penghargaan kepada pucuk kepimpinan BN atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.
“Saya masih berdebar dan terkejut. Namun, menerusi kerjasama dan komitmen semua daripada kita, saya yakin kita akan mampu membawa kemenangan besar BN dalam PRK DUN Ayer Kuning.
“Kesemua ini adalah demi usaha kita untuk meneruskan apa yang diusahakan serta telah dirancang (penyandang kerusi DUN Ayer Kuning) Allahyarham Ishsam Shahruddin.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak dan diharap ini adalah permulaan yang baik demi pengakhiran yang cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN PRK DUN Ayer Kuning, di Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh di sini, pada Isnin.
Pada majlis Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan Mohamad Yusri sebagai calon parti itu untuk bertanding pada PRK DUN tersebut.
Majlis turut dihadiri, Pengerusi BN Kebangsaan merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan; Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Mohamad Yusri, 53, mempunyai latar belakang pendidikan agama apabila memperoleh Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 2017.
Beliau juga mempunyai pengalaman luas dalam bidang pendidikan apabila pernah berkhidmat sebagai guru, pensyarah serta jawatan terakhir disandang sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh.
Hasil rumah tangga yang dibina dengan Rosnani Mahmud, 52, mereka dikurniakan empat cahaya mata yang berusia antara 20 sehingga 28 tahun. – MG Perak
Artikel Berkaitan: