KAMPAR – Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS merupakan calon paling kuat bagi mencabar wakil daripada dua gabungan parti utama negara pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning.
Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata, Bawani, 39, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang, Universiti Utara Malaysia (UUM) aktif mewakili pelbagai komuniti sebagai peguam hak asasi manusia.
Beliau berkata, pemilihan anak jati tempatan itu akan berperanan menjadi semak dan imbang terhadap suara rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kelak.
“PRK kali ini menandakan detik penting kerana ia merupakan kali pertamanya, PSM, MUDA dan PRM bersama-sama menyokong seorang calon.
“Kerjasama ini diharap dapat membina momentum bagi kuasa politik ketiga dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PSM di Jalan PPAK2, Air Kuning di sini, pada Selasa.
Bawani pernah bertanding di kerusi DUN Ayer Kuning pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15 dalam pertembungan lima penjuru yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN), Allahyarham Ishsam Shahruddin.
Beliau juga pernah bertanding pada PRU14, dengan menjadi calon PSM bagi kerusi DUN Malim Nawar, namun tewas selepas hanya memperoleh 213 undi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: