IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah meluahkan rasa dukacita kerana masih terdapat kilang sisa pemprosesan sisa eletronik (e-waste) yang beroperasi secara haram di negeri ini.
Baginda bertitah, premis e-waste yang beroperasi secara haram menjalankan pemprosesan sisa buangan secara tidak terkawal, menyebabkan pencemaran udara, tanah dan air.
Menurut Sultan Nazrin, lambakan e-waste perlu diberikan perhatian serius kerana sisa tersebut mengandungi bahan toksik dan berbahaya.
Titah baginda, sisa toksik yang tidak dilupuskan dengan kaedah yang betul dan selamat, berisiko mencemarkan alam sekitar, serta memberi kesan negatif kepada kesihatan manusia.
“Membuka kilang memproses e-waste tanpa permit merupakan perbuatan jenayah. Pelaku jenayah e-waste didorong kepentingan sempit untuk meraih keuntungan, nyata tidak mempedulikan kesan buruk kepada ekosistem kehidupan,” titahnya.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan rasmi Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, baginda bertitah negeri ini turut dikejutkan apabila barangan bernilai satu perpuluhan tiga bilion ringgit, disita melalui serbuan pihak berkuasa ke atas sebuah kilang memproses e-waste yang beroperasi secara haram di Sungai Siput pada 15 Februari lalu.
“Insiden ini mengundang persoalan, bagaimana pelbagai pihak berkuasa boleh terlepas pandang tentang kewujudan sebuah kilang yang tersergam, boleh beroperasi secara haram di kawasan terbuka.
“Insiden ini sewajibnya mencelikkan mata pelbagai pihak berkuasa untuk mempergiatkan usaha pemantauan serta penguatkuasaan secara bersepadu, pantas dan tegas,” titah baginda. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PGA serbu kilang haram proses e-waste, nilai rampasan RM1.3 bilion