TAPAH – Barisan Nasional (BN) menegaskan komitmen untuk memastikan perjalanan kempen parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning berlangsung harmoni tanpa sebarang unsur provokasi berbaur perkauman, fitnah atau serangan peribadi.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau sejak awal lagi telah mengingatkan seluruh jentera parti agar tidak membangkitkan isu yang boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan pengundi tempatan.
“Kita mahu menang pilihan raya tanpa terlibat dengan fitnah yang akan memecahbelahkan keharmonian dalam kalangan pengundi.
“Ini kerana kadang-kadang dalam sebuah rumah, ada penyokong BN, ada penyokong Perikatan Nasional (PN). Oleh itu, jangan kita dengan sengaja menyebabkan pertelingkahan baik dalam rumah tangga pengundi, mahupun masyarakat setempat.
“Dan jika PN hendak main cara begitu, itu urusan mereka. Akan tetapi, sebagai Menteri Besar saya hendak mentadbir negeri ini dengan rasa kasih, sayang dan aman damai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Jelajah AIM TVET With Cikgu Saarani di Kompleks Sukan Tapah, Tapah Road, dekat sini, pada Sabtu.
Saarani menambah, suasana harmoni dalam kalangan masyarakat khususnya di Ayer Kuning perlu terus dipelihara, di samping kempen yang menyentuh soal peribadi calon lawan dan agama perlu dielakkan
“Selalu saya ingatkan bahawa setiap individu ada kemelahan dan kelebihan masing-masing, dan kadang kala apabila bercakap soal kelemahan orang lain, kelemahan itu ada pada kita.
“Apabila kita ungkit kelemahan orang, orang akan kembali ungkit kelemahan kita. Kita semua tidak sempurna, termasuk saya sebagai Menteri Besar,” katanya lagi.
Tegas beliau, keharmonian kaum adalah asas penting dalam pembinaan negara, justeru semangat perpaduan perlu terus dipertahankan walaupun ketika berkempen dalam pilihan raya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: