TAPAH – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir dilihat sebagai individu yang dekat dan disenangi oleh masyarakat Orang Asli setempat.
Penduduk di Kampung Orang Asli Sungai Kurong Dalam memaklumkan bahawa Ustaz Yusri pernah mengunjungi penempatan mereka bersama wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham, Ishsam Shahruddin, ketika beliau masih berkhidmat.
Penduduk, Yudith Ngah Shaari, 43, berkata beliau sudah lama mengenali calon tersebut, malah pernah menerima tunjuk ajar daripadanya semasa zaman persekolahan.
“Saya sudah kenal Ustaz Yusri sejak dahulu lagi. Beliau pernah mengajar saya subjek Pendidikan Moral ketika saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti,” katanya.
Yudith menambah, selain pernah melawat kampung mereka, Ustaz Yusri juga dilihat mesra dan mudah bergaul dengan penduduk setempat.
Dia berharap, BN akan meneruskan agenda pembangunan yang telah dimulakan oleh wakil rakyat terdahulu jika calonnya mengekalkan kerusi DUN Ayer Kuning.
“Arwah YB Ishsam banyak bantu kami. Beliau pernah bantu tambah baik dewan, anjurkan sukaneka untuk kanak-kanak Orang Asli dan juga selesaikan masalah bekalan air.
“Kami harap calon baharu juga boleh teruskan usaha itu,” ujarnya ketika ditemui di Kampung Orang Asli Sungai Kurong Dalam, di sini.
Pengundi muda, Irna Idayu Bah Chelangek, 28, berpandangan bahawa BN adalah parti yang konsisten dalam membantu masyarakat setempat.
“BN sudah lama terajui kawasan ini. Setiap kali kami perlukan bantuan, mereka tidak pernah mengecewakan,” katanya.
Bagi Saidi Long, 21, pembangunan kemudahan sukan menjadi antara harapan utama sekiranya calon BN diberi mandat.
“Saya harap ada padang bola dibina di kampung ini. Ramai anak muda minat bola sepak, dan kami perlukan tempat untuk bersukan,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kekosongan kerusi selepas penyandangnya, Allahyarham Ishsam meninggal dunia pada 22 Februari lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: Ustaz Yusri Terus Santuni Pengundi Dari Rumah Ke Rumah Dan Masyarakat Orang Asli