IPOH – Kerajaan Perak menafikan dakwaan pembangkang bahawa lokasi ladang ternakan babi di Kampung Tanjung Keramat di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, terletak berhampiran penempatan penduduk dan masjid di kawasan berkenaan.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, sebaliknya jarak ladang itu lebih jauh daripada dakwaan pihak pembangkang.
“Sebenarnya, ladang itu terletak pada jarak tiga kilometer (km) daripada penempatan penduduk serta 2.57 km daripada masjid kampung berkenaan.
“Jarak itu adalah jauh berbanding syarat zon penampan bagi ternakan babi yang ditetapkan iaitu 200 meter dari penempatan penduduk.
“Jadi, ladang tersebut bukan dekat seperti dikatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri dalam Dewan (Sidang DUN) semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan isu kedudukan ladang ternakan babi di kawasan Kampung Tanjung Keramat pada sidang media yang diadakan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.
Sivanesan turut menjelaskan bagi menyelesaikan isu bau, ladang ternakan babi itu dalam proses naik taraf kepada Modern Pig Farm (MPF).
“Setakat ini, 84 peratus telah siap dan tinggal lebih kurang 16 peratus sahaja. Jadi ia akan disiapkan tidak lama lagi. Isu bau juga akan diselesaikan untuk selama-lamanya.
“Saya berharap dengan penjelasan ini orang kampung dan orang politik yang mainkan isu ini akan faham dan perkara tersebut dapat diselesaikan,“ ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan Perak menutup ladang babi haram serta-merta dan memindahkan premis yang berhampiran Kampung Tanjung Keramat ke lokasi lebih sesuai.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dilaporkan meminta kerajaan negeri mewajibkan penggunaan sistem penternakan moden yang tidak mengeluarkan bau dan mengamalkan konsep sifar pelepasan ke dalam sungai.
Selain itu, PN mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri meluluskan lesen pengoperasian ladang babi di kawasan majoriti penduduk Melayu Islam. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiada ladang babi baharu di kawasan majoriti Islam – Sivanesan