TAPAH – Berbaki dua hari sebelum hari pengundian, calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir giat mempertingkat kempen menerusi platform media sosial bagi mendekati golongan muda sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Mohamad Yusri yang lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri berkata, penggunaan medium digital itu dilihat mampu memberi impak positif dalam meraih sokongan pengundi, di samping kempen secara fizikal seperti kunjungan dari rumah ke rumah.
Katanya, pendekatan melalui media sosial turut digunakan untuk menyeru pengundi luar agar pulang ke kampung halaman dan menunaikan tanggungjawab mengundi pada Sabtu ini.
“Selain daripada kaedah kempen dari rumah ke rumah, kita juga mempelbagaikan cara kempen termasuk melalui media sosial.
“Langkah ini sangat baik kerana ia merupakan usaha yang bersesuaian dengan generasi muda. Melalui kaedah ini, kita boleh menerangkan tawaran-tawaran dalam PRK kepada mereka.
“Dan dari segi akses, generasi baru ini juga boleh mendapatkan maklumat walau mereka duduk di mana pun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Wawancara Atas Talian bersama Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon di Hotel Grand Kampar, dekat sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Ustaz Yusri turut merayu agar semua pengundi DUN Ayer Kuning, termasuk yang merantau atau bekerja di luar kawasan, agar pulang mengundi pada Sabtu ini.
“Saya merayu kepada semua pengundi termasuk pengundi luar terutama yang mahu memangkah pulanglah ke Ayer Kuning dan mengundi calon BN.
“Beri sokongan dengan memilih saya untuk membolehkan agenda pembangunan oleh wakil rakyat sebelum ini dapat kita teruskan,” kata beliau.
Sementara itu ketika diminta mengulas berkenaan undi awal semalam, Ustaz Yusri berpuas hati dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 93.4 peratus yang disifatkan tinggi.
“Saya berharap apabila kiraan dibuat, undi itu akan memihak kepada kita,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PRK Ayer Kuning: 93.4 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab