TAPAH – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin sekurang-kurangnya 70 peratus individu akan keluar menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, pada Sabtu.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, walaupun peratusan keluar mengundi masih rendah iaitu 26.36 peratus setakat jam 11 pagi tadi, beliau optimis angka itu mampu dicapai sebaik kesemua 19 pusat mengundi ditutup
“Kita melihat angka sebut agak rendah. Jadi saya menyeru kepada semua pengundi yang berdaftar di Ayer Kuning untuk segera keluar mengundi lebih awal.
“Ini kerana kita bimbang keadaan cuaca tidak mengizinkan, kerana sejak kebelakangan ini pada sebelah petang kerap berlaku hujan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau perjalanan proses pengundian PRK DUN Ayer Kuning di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bidor, dekat sini, pada Sabtu.
Selain itu Ramlan memberitahu, SPR telah merekodkan 36 laporan berkaitan kesalahan pilihan raya, khususnya membabitkan soal bahan kempen.
Beliau berkata, kesemua kesalahan kecil itu telah diselesaikan SPR dengan lima daripadanya berjaya diselesaikan pihak polis.
“Proses pengundian di 19 pusat mengundi membabitkan 63 saluran telah berjalan lancar dan tertib. Oleh itu kita mengharapkan ia kekal sehingga pusat mengundi ditutup pada jam 6 petang, kecuali satu ditutup pada jam 4 petang,” tambah beliau.
Seramai 31,315 pengundi berdaftar bagi PRK DUN Ayer Kuning akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat selepas tamat 14 hari tempoh berkempen.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir; calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia). – MG Perak
Artikel Berkaitan: