TAPAH – Sebanyak 19 pusat mengundi melibatkan 63 saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning ditutup secara berperingkat jam 4 dan 6 petang ini.
Hanya sebuah pusat mengundi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Toh Tandewa Sakti ditutup jam 4 petang manakala bakinya 18 buah lagi jam 6 petang.
Semua peti undi akan dibawa ke Dewan Merdeka, di sini, untuk proses penjumlahan undi rasmi.
Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan peratusan keluar mengundi sehingga jam 4 petang adalah sebanyk 54.01 peratus.
Jumlah berkenaan jauh dari sasaran SPR sebanyak 70 peratus.
Untuk rekod, seramai 31,281 pengundi dijangka menunaikan tangggungjawab masing-masing hari ini bagi memilih wakil rakyat baharu pada PRK DUN Ayer Kuning yang berlangsung hari ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, akibat serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang 22 Februari lalu.
Rentetan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian pada 26 April dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April depan.
Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,213 undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586). -MG Perak