KUALA LUMPUR – Kerajaan memperkenalkan model baharu penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berasaskan merit akademik bagi program Latihan Sebelum Perkhidmatan (LSP).
JPA dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini memaklumkan, model baharu itu akan menggantikan Pinjaman Boleh Ubah (PBU) 2016 yang berasaskan merit tempat berkhidmat kepada Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBU Akademik), berkuat kuasa 1 Jun ini.
“Langkah ini selaras dengan prinsip Ihsan MADANI yang bertujuan memperkasa pembangunan modal insan berteraskan kecemerlangan akademik dan sahsiah dalam kalangan warganegara yang berkelayakan,” menurut kenyataan itu.
JPA memaklumkan melalui model baharu itu, pelajar tajaan JPA kecuali bidang perubatan, pergigian dan farmasi akan menikmati pengurangan bayaran balik pinjaman berdasarkan pencapaian akademik.
Pelajar bidang perubatan, pergigian dan farmasi pula akan mendapat pengecualian penuh bayaran balik pinjaman sekiranya tamat pengajian dengan jayanya dan memenuhi ikatan kontrak berkhidmat dengan kerajaan.
“PBU Akademik akan diguna pakai kepada semua pelajar tajaan baharu mulai 1 Jun 2025 kecuali penerima Dermasiswa. Bagi pelajar sedia ada di bawah model PBU 2016, opsyen penukaran ke PBU Akademik akan dibuka secara berperingkat mulai 1 Jan 2026,” menurut JPA.
Kenyataan itu memaklumkan pelajar PBU 2016 yang telah menamatkan pengajian dan kini sedang membuat pembayaran balik pinjaman, diminta menghentikan bayaran bermula 1 Jun sehingga penukaran opsyen dibuka.
Pelajar boleh merujuk portal penajaan JPA di https://penajaan.jpa.gov.my dan email pbuakademik@jpa.gov.my untuk sebarang pertanyaan. -BERNAMA