Wanita UMNO jadi ‘tulang belakang’ BN setiap pilihan raya

GOPENG – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning Sabtu lalu, menjadi bukti Wanita UMNO Perak bersedia menjadi tulang belakang kepada calon yang bertanding.

Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kerjasama dan usaha yang diberikan jentera wanita bersama jentera-jentera sayap yang lain membuahkan hasil apabila Dr Mohamad Yusri Bakir memperoleh kemenangan.

“Saya mudah sahaja, mana-mana kejayaan tidak ada hasil usaha satu pihak dan sudah tentulah sebagai Ketua Wanita Negeri saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana seluruh jentera wanita kita bertungkus-lumus berkempen memenangkan calon.

“Kejayaan ini adalah kejayaan bersama baik daripada lokal (tempatan), bahagian-bahagian dan negeri-negeri yang datang dan turun membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jaringan Usahawan Bersama Agensi dan NGO Usahawan Negeri Perak Tahun 2025 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak, di sini, pada Isnin.

Kira-kira 50 agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) usahawan terlibat dalam program jaringan ini yang turut menyediakan ekosistem antara usahawan dan agensi terlibat.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed pada sidang media Majlis Jaringan Usahawan Bersama Agensi dan NGO Usahawan Negeri Perak Tahun 2025 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak, Gopeng, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 APRIL 2025.

Salbiah berkata, Wanita UMNO Perak khususnya telah memulakan kempen awal sebaik sahaja mengetahui kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dikosongkan untuk tujuan diadakan PRK.

“Wanita sentiasa bersiap-siaga untuk membantu dan menjadi tulang belakang parti bagi memenangi mana-mana PRK ataupun PRU yang akan diadakan nanti,” katanya.

Mohamad Yusri atau mesra dikenali sebagai Ustaz Yusri mempertahankan kerusi yang dimenangi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Dalam saingan tiga penjuru Ustaz Yusri memperolehi 11,065 undi, sementara dua lagi pencabarnya, Abd Muhaimin Malek dari PN dan Bawani KS PSM masing-masing mendapat 6,059 dan 1,106 undi.

Menerusi kemenangan itu, Kerajaan Perpaduan di Perak yang terbentuk hasil kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) pasca PRU15 lepas terus mengekalkan penguasaan 32 kerusi DUN sementara PN 26. – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI