Kumpulan pertama jemaah haji berlepas ke Tanah Suci pagi tadi

SEPANG – Seramai 284 jemaah haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci awal pagi ini, menandakan bermulanya musim haji bagi tahun ini.

Kumpulan pertama itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 4.05 pagi menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8050 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada 7.50 pagi waktu tempatan (Arab Saudi), hari yang sama.

Mereka terdiri daripada jemaah yang berlepas dari stesen Alor Setar di Kedah dan Sepang di Selangor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sebanyak 100 penerbangan sewa khas menerusi syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines disediakan untuk membawa 31,600 jemaah haji ke Tanah Suci bagi musim ini.

“TH telah mula menghantar petugas haji ke Arab Saudi seawal 24 April lepas untuk membuat persediaan awal bagi menyambut ketibaan para tetamu Allah,” katanya ketika menghadiri Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia Ke Tanah Suci Bagi Musim Haji 1446H/2025M.

Mohd Na’im berkata lapan stesen berlepas negeri akan digunakan untuk urusan melapor diri jemaah iaitu di Sepang (Selangor), Alor Setar (Kedah), Kota Bharu (Kelantan), Kuala Terengganu (Terengganu), Bayan Lepas (Pulau Pinang), Senai (Johor), Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah).

Beliau turut menasihati para jemaah agar memanfaatkan peluang berharga sebagai dhuyufurrahman (tetamu Allah) dengan mengikhlaskan niat, tidak membiarkan masa berlalu dengan sia-sia serta memperbanyak amal ibadat sepanjang berada di Tanah Suci.

“Saya ingin mengingatkan semua jemaah haji Malaysia musim ini untuk mengekalkan tradisi dan imej baik negara di mata dunia.

“Semua jemaah haji perlulah mematuhi dan menghormati peraturan serta undang-undang Kerajaan Arab Saudi dengan mengelakkan diri daripada terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang tuan rumah,” katanya.

Mohd Na’im bersama Pengerusi Lembaga TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan barisan pengurusan TH turut hadir meraikan pelepasan kumpulan pertama bakal haji di KLIA pagi ini. – BERNAMA

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI