Sultan Nazrin berkenan rasmi Pusat Pengeluaran BPS PPN Perak

PARIT BUNTAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah (BPS) Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak di sini, pada Selasa.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Ketibaan baginda kira-kira 11.00 pagi disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Majlis dimulakan dengan alunan suci ayat Al-Quran dari Johan Hafazan Al-Quran Juzuk 1 hingga 30, Peringkat Kebangsaan Tahun 2025, Ustaz Muhammad Adib Ahmad Rozaini diikuti sembah ucapan Mohamad

Baginda kemudian berkenan melafazkan lafaz perasmian dan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian sebelum melawat bangunan itu, disusuli majlis santapan sebelum berangkat pulang.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenaan berangkat ke majlis perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri Perak di Parit Buntar. Foto ABDULLAH YUSOF, 06 MEI 2025.

Perasmian ini menandakan satu langkah strategik ke arah memperkukuh ekosistem industri padi dan beras dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

Pembangunan semula pusat ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan keterjaminan makanan negara melalui pengeluaran benih padi sahyang mencukupi, berkualiti, dan mudah diakses oleh pesawah di seluruh negara.

Pusat Pengeluaran BPS PPN Perak ini melibatkan peruntukan kerajaan sejumlah RM12.72 juta dengan kapasiti pengeluaran 5,000 tan metrik benih padi sah setahun dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada Mei 2025.

Pusat ini merupakan satu daripada empat pusat baharu yang dibangunkan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang dalam usaha memperkasa ekosistem benih padi sah negara.

Secara keseluruhan, keempat-empat pusat ini dijangka menyumbang sebanyak 28 peratus daripada keperluan benih padi sah negara iaitu bersamaan 20,000 tan metrik setahun.

Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 1 juta beg (20kg/beg) setahun, empat pusat ini mampu menyokong penanaman padi seluas 142,857 hektar di seluruh negara dan menyumbang secara signifikan terhadap pengurangan kebergantungan kepada pembekal pihak ketiga. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI