PARIT BUNTAR – Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah (BPS) yang dirasmikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini, hari ini, mampu menghasilkan kira-kira 250,000 beg BPS setahun.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dengan kapasiti pengeluaran 5,000 tan metrik setahun ia bakal memberi manfaat kepada 16,000 pesawah di Perak dengan keluasan tanaman padi seluas 36,000 hektar.
Beliau berkata, bagi memenuhi keperluan pesawah dan melengkapkan rantaian nilai industri padi, terdapat empat Pusat Pengeluaran BPS di bawah institusi Peladang.
Jelas beliau ia melibatkan Pertubuhan Peladang (PPK) Lahar Bubu, Pulau Pinang berkapasiti 5,000 tan metrik setahun; Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kedah yang beroperasi dibawah sub operasi PPK Lahar Bubu dan Pertubuhan Peladang Negeri Selangor yang masih menanti kelulusan kuota pengeluaran.
“Patik percaya, setelah tertubuhnya sebuah Pusat Pengeluaran BPS pembangunan di daerah ini juga menyusul tiba.
“Pembangunan ekonomi dan sosial adalah sebahagian daripada manfaat yang diterima masyarakat sekitar sama ada secara langsung atau secara tidak langsung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaian sembah ucapan pada Majlis Perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri Perak, di sini, pada Selasa.
Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian berkenaan diiringi Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Mengulas lanjut Mohamad berkata, Pusat Pengeluaran BPS berkenaan bukan sekadar untuk institusi Peladang malah untuk seluruh masyarakat.
“Patik percaya pada kuasa kerjasama dan kepentingan menjalin hubungan kukuh dengan rakan kongsi tempatan, nasional dan global.
“Pada masa hadapan, Pusat Pengeluaran BPS PPN Perak ini bakal berdiri teguh sebagai pusat rujukan tempat di mana benih padi sah yang berkualiti dan memenuhi keperluan masyarakat pesawah disediakan,” katanya.
Pembangunan semula Pusat Pengeluaran BPS adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan keterjaminan makanan negara melalui pengeluaran benih padi sah yang mencukupi, berkualiti, dan mudah diakses oleh pesawah di seluruh negara.
Pusat Pengeluaran BPS PPN Perak ini melibatkan peruntukan kerajaan sejumlah RM12.72 juta dengan kapasiti pengeluaran 5,000 tan metrik benih padi sah setahun dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada Mei 2025.
Pusat ini merupakan satu daripada empat pusat baharu yang dibangunkan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang dalam usaha memperkasa ekosistem benih padi sah negara.
Secara keseluruhan, keempat-empat pusat ini dijangka menyumbang sebanyak 28 peratus daripada keperluan benih padi sah negara iaitu bersamaan 20,000 tan metrik setahun.
Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 1 juta beg (20kg/beg) setahun, empat pusat ini mampu menyokong penanaman padi seluas 142,857 hektar di seluruh negara dan menyumbang secara signifikan terhadap pengurangan kebergantungan kepada pembekal pihak ketiga. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin berkenan rasmi Pusat Pengeluaran BPS PPN Perak