Tindakan proaktif Saarani tangani isu tanah masjid dipuji

BAGAN SERAI – Tindakan proaktif Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saraani Mohamad dalam usaha menyelesaikan isu tanah melibatkan Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu di sini yang berlarutan sejak lebih sedekad lalu mendapat reaksi positif pelbagai pihak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali antara yang memuji keterbukaan Saarani untuk mendengar pandangan dan bertindak segera terhadap isu itu.

Menurutnya, tindakan segera itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kepentingan institusi masjid dan keharmonian masyarakat Islam di Perak.

“Menteri Besar menyambut baik cadangan untuk menubuhkan tabung khas, malah mengarahkan semua kutipan di (masjid) seluruh negeri disalurkan ke dalam tabung tersebut. Ini adalah modul pertama seumpamanya di negeri ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mengulas lanjut berhubung isu tersebut, Noor Azman memaklumkan, pemilik tanah telah bersetuju untuk meletakkan kaveat supaya tanah itu tidak boleh dijual tanpa melibatkan pihak masjid.

“Pagi tadi, pengerusi masjid maklumkan kepada saya bahawa tuan tanah telah menyatakan persetujuan untuk memberi keutamaan kepada pihak masjid dan tidak akan menjual kepada mana-mana pihak lain sementara rundingan berjalan.

“Tanah berkeluasan tiga ekar itu dinilai sekitar RM1.8 juta berbanding RM2 juta dalam pasaran. Bagaimanapun, kawasan yang berkait langsung dengan masjid hanyalah kurang satu ekar daripada keseluruhan tiga ekar yang terlibat.

“Tetapi tuan tanah mahu libatkan pembelian keseluruhan kawasan dan itu akan membolehkan pembangunan tambahan seperti kawasan parkir dan kemudahan sekitar.

“Sehubungan itu, saya menyeru supaya semua masjid dan surau di negeri ini segera menggazetkan tanah masing-masing bagi mengelakkan isu serupa berulang,” jelasnya.

Tindakan proaktif Saarani tangani isu tanah masjid dipuji
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali.

Beliau berkata isu pemilikan tanah itu mula timbul sekitar tahun 2012 apabila ia dijual kepada individu bukan Islam, namun tidak pernah dimaklumkan secara rasmi kepada pihak kerajaan negeri.

“Ini isu lama yang masyarakat tidak tahu. Malah, Menteri Besar sendiri akui beliau tidak pernah dimaklumkan. Saya sendiri hanya mengetahuinya secara tidak rasmi daripada komuniti setempat.

“Bila saya bangkitkan perkara ini di Sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) baru-baru ini dan barulah tindakan dapat dimulakan secara rasmi,” jelasnya.

Tambah beliau, usaha terdahulu pernah dijalankan termasuk mewujudkan tabung kutipan khas, namun wang tersebut telah digunakan untuk tujuan lain oleh pihak pengurusan lama.

“Pengurusan baharu masjid yang dilantik lebih setahun lalu telah bertindak lebih proaktif dengan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bertindak khusus bagi menyelamatkan masjid yang di tanah berkenaan.

“Saya bantu mereka hubungkan isu ini terus kepada Pejabat Menteri Besar, dan syukur, respons yang diterima amat positif,” katanya.

Semalam, Saarani dilaporkan berkata, semua masjid dan surau di Perak perlu mendaftarkan tanah wakaf masing-masing di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi mengelak isu pertikaian hak milik institusi ibadah tersebut.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) juga telah mengeluarkan surat pemakluman kepada semua masjid dan surau di negeri ini mengenai kutipan derma khas tersebut. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MB Perak gesa tanah wakaf masjid, surau segera didaftarkan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI