IPOH – Lebih 3,000 penganut Buddha berkumpul di tokong Enlightened Heart Tibetan Buddhist, Tambun di sini bagi sambutan Hari Wesak pada Isnin.
Timbalan Sami (Abbot), Sin Kiat berkata, sebanyak 43 buah bas dari seluruh Malaysia antaranya, Johor, Pulau Pinang dan Kedah menyertai upacara keagamaan tersebut.
Menurutnya, upacara keagamaan itu bermula seawal jam 10 pagi dan mengambil masa kira-kira 45 minit bagi setiap penganut untuk melalui sekeliling tokong tersebut.
“Upacara kemuncak adalah menjemur ‘Thangka’ gergasi di bawah cahaya matahari sekitar jam 12.30 tengah hari.
“Ia akan dijemur bagi menyerap tenaga matahari dan memberkati sesiapa sahaja yang lalu di bawahnya, dan dipercayai dapat membuang nasib malang mereka,” katanya ketika ditemui pada Isnin.
Hari Wesak disambut bagi memperingati peristiwa utama dalam kehidupan Siddhartha Gautama Buddha.
Perayaan yang biasanya berlangsung pada bulan Mei sewaktu bulan penuh itu disambut dengan pelbagai upacara keagamaan seperti perarakan, meditasi, pembacaan sutra, dan pemberian makanan kepada golongan memerlukan.
Penganut akan mengunjungi tokong untuk bersembahyang, membersihkan patung Buddha, serta melakukan perbuatan baik sebagai tanda penghormatan dan memperingati ajaran Buddha. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PM seru semarak prinsip hormat sesama insan dalam kemajmukan rakyat