TELUK INTAN – Polis mengesahkan pemandu lori muatan batu yang terbabit nahas jalan raya yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di sini pagi tadi mempunyai enam rekod jenayah lampau.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, daripada kesemua rekod lampau itu kebanyakannya berkaitan kes narkotik dan dan trafik.
Katanya, pemandu berusia 45 tahun itu telah ditahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut.
“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati negatif daripada sebarang jenis dadah.
“Dan hasil siasatan awal mendapati supek telah berpengalaman selama 20 tahun sebagai pemandu lori,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media di Unit Forensik Hospital Teluk Intan, di sini, pada Selasa.
Noor Hisam berkata, nahas jalan raya itu berlaku ketika tujuh konvoi kenderaan FRU sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak
Bagaimanapun katanya, kenderaan membawa 18 anggota yang berada pada kedudukan kelima konvoi itu telah dirempuh lori membawa muatan batu.
“Tujuh kenderaan terlibat dalam konvoi itu termasuk dua buah pacuan empat roda, empat buah lori dan sebuah bas di mana kenderaan membawa mangsa yang kelima dalam barisan.
“Penugasan anggota ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) FRU di mana jika berlangsung selama tiga hari, satu hari untuk perjalanan ke lokasi, satu hari untuk bertugas, dan satu hari untuk pulang. Itu adalah protokol standard FRU,” jelas beliau.
Sementara itu, Noor Hisam memberitahu, sembilan anggota yang dilaporkan cedera masih menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Teluk Intan.
“Maklumat yang diperolehi setakat ini, dua daripada mereka berada di zon merah (zon kritikal) manakala tujuh lagi di zon kuning,” katanya.
Tambah beliau, proses bedah siasat ke atas sembilan anggota yang terkorban dilakukan bermula pukul 2.30 petang dan dijangka selesai pada 8 malam.
Jelas beliau, sebaik proses bedah siasat selesai, jenazah akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk solat jenazah sebelum ke Markas Pasukan Simpanan Persekutuan Unit 5, Sungai Senam, Ipoh bagi penghormatan terakhir.
“Sebaik selesai acara penghormatan terakhir, semua jenazah akan dibawa ke kampung halaman masing-masing,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Nahas FRU: PM Anwar mahu siasatan menyeluruh, bantu mangsa dan keluarga