GOPENG – Seorang remaja lelaki dilaporkan lemas selepas terjun ke dalam sebuah lombong ketika cuba mengambil tali pancing milik orang lain yang ditinggalkan dalam kejadian di Kota Bharu, dekat sini, petang semalam.
Mangsa, Muhammad Fazrul Qusry Ahmad Asmawi, 18, ditemui lemas sekitar jam 9.50 pagi ini oleh anggota bomba.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan awal mendapati mangsa pergi memancing bersama dua rakannya kira-kira jam 6 petang dengan menaiki motosikal ke lombong tersebut.
“Mereka memancing di atas sebuah sampan kecil yang berada di tengah lombong.
“Tempat mereka memancing tidak dalam dan mangsa memberitahu ingin turun ke dalam air untuk mengambil pancing milik orang lain yang ditinggalkan di situ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudiannya berenang ke bahagian tengah lombong yang lebih dalam sebelum dilihat timbul sekali untuk mengambil nafas sebelum terus tenggelam dan tidak muncul semula.
“Rakan-rakan mangsa yang berada di atas sampan pada jarak kira-kira 30 meter cuba memanggil mangsa, namun tidak menerima sebarang respon.
“Mereka yang panik segera meminta bantuan orang kampung serta menghubungi polis dan bomba,” ujarnya.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat oleh pasukan bomba tidak menemui mangsa berikutan keadaan cuaca yang semakin gelap dan disambung pada hari ini.
“Mangsa ditemui sekitar jam 9.50 pagi tadi oleh pihak bomba dan dibawa ke Hospital Kampar untuk proses bedah siasat,” ujarnya.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Remaja lelaki ditemukan lemas selepas cuba menyeberangi lombong