JAIPk digesa siasat dakwaan pemimpin Pas Perak ajar tanpa tauliah

IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) digesa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan bahawa terdapat beberapa pemimpin Pas Perak memberi kuliah agama di masjid-masjid sekitar negeri ini tanpa tauliah yang sah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia susulan laporan yang tular di media sosial berhubung perkara tersebut.

Menurut Saarani, walaupun maklumat tersebut belum disahkan secara rasmi, pihak berkuasa agama negeri wajar mengambil langkah menyiasat secara teliti dan adil bagi menentukan kesahihannya.

“Sekiranya dakwaan itu dilaporkan secara rasmi kepada JAIPk, maka menjadi tanggungjawab JAIPk untuk menyiasat sama ada ia benar atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Wilayah Ekonomi Koridor Utama (NCER) Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin.

Dalam perkembangan sama, Saarani turut menegaskan bahawa tindakan mengajar tanpa tauliah, lebih-lebih lagi apabila melibatkan pemimpin politik, adalah satu kesalahan dan jelas bertentangan dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Tidak kira siapa, sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang, jika didapati melanggar titah Tuanku, ia tetap merupakan satu kesalahan. Namun, setiap pertuduhan mesti disokong dengan bukti dan hasil siasatan yang adil,” ujarnya.

Saarani turut mengambil peluang untuk mengingatkan semua pemimpin politik di negeri itu, termasuk dirinya sendiri, supaya menghormati titah Sultan berhubung larangan menyampaikan ceramah atau kuliah di masjid dan surau Jumaat tanpa tauliah.

“Saya sendiri sering dijemput berucap selepas solat Jumaat, namun saya menolak kerana sedar akan larangan tersebut. Kita perlu patuh kepada titah Tuanku,” jelasnya.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung dua pemimpin utama Pas Perak didakwa melanggar garis panduan JAIPk apabila memberi kuliah agama di masjid yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) tanpa memiliki tauliah yang sah.

Perkara itu didedahkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain yang mendakwa mempunyai bukti kukuh berhubung pelanggaran tersebut. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Penceramah luar dilarang mengajar agama tanpa tauliah di Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI