IPOH – Seorang penjawat awam kerugian RM50,000 selepas diperdaya sindiket ‘phone scam’ atau penipuan atas talian yang menyamar sebagai pegawai polis kononnya untuk menyelesaikan kes jenayah yang tidak wujud pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, wanita berusia 40 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali ketika berada di pada pejabatnya Selasa lalu.
Katanya, mangsa mendakwa pemanggil memaklumkan bahawa kad Touch ‘n Go miliknya telah disambung dengan kad kredit seseorang yang membuat aduan mengalami kerugian.
“Panggilan mangsa seterusnya didakwa disambungkan kepada (individu mendakwa kononya sebagai) pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
“Mangsa dimaklumkan telah terlibat dengan penggubahan wang haram dan pengedaran dadah di mana waran tangkap terhadap mangsa telah dikeluarkan oleh Bukit Aman.
“Mangsa juga dikatakan telah terlibat menjual kad bank miliknya kepada seorang lelaki yang dikatakan telah ditangkap semasa serbuan oleh pihak polis serta bersubahat menerima komisen hasil penjualan dadah sebanyak RM228,000,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Menurut Abang Zainal Abidin, suspek memberitahu bahawa rumah penjawat awam itu akan digeledah, dan bagi mengelakkan ia berlaku wanita itu telah diminta untuk mangsa menyimpan aset berharga kepada suspek.
Bimbang ditangkap, beliau berkata, mangsa akur dengan arahan suspek supaya menyerahkan barang kemas miliknya dan ibunya kononya untuk disimpan sementara.
“Pada jam 8 malam di hadapan sebuah klinik pergigian di Pusat Perniagaan Falim, mangsa telah menyerahkan barang kemas miliknya dan ibunya kepada suspek.
“Selepas itu mangsa baru tersedar bahawa beliau telah ditipu. Jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa berjumlah RM50,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” tambahnya.
Abang Zainal Abidin berkata, susulan itu, hasil siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, polis berjaya mengesan nombor pendaftaran kenderaan suspek dan menahan seorang wanita berusia 56 tahun.
“Turut dirampas bersamanya adalah sebuah kereta jenis Perodua Myvi, surat pajak gadai, rantai tangan (tiga), rantai leher (satu), cincin (dua), empat jongkong emas (4 gram) serta dua syiling perak dipercayai milik mangsa.
“Hasil soal siasat awal, suspek mengaku telah mengambil barang kemas tersebut daripada mangsa atas arahan yang diberikan oleh pihak yang tidak dikenali melalui telefon. Suspek telah ditahan reman bagi siasatan lanjut,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: