IPOH – Kerajaan Negeri Perak mengagihkan sebanyak 436 ekor lembu korban ke semua 59 Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena sambutan Aidiladha Jun depan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, agihan lembu korban tersebut disumbangkan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).
Katanya, antara yang menyumbang adalah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Lembaga Air Perak (LAP) serta Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI).
“Bagi memastikan agihan yang adil dan menyeluruh, setiap kawasan DUN akan menerima sekurang-kurangnya enam ekor lembu korban, termasuk kawasan yang diwakili oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan beragama Islam.
“Agihan lembu korban ini turut melibatkan masjid dan surau, pasukan keselamatan, persatuan-persatuan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) terpilih di seluruh negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah Saarani, seperti pelaksanaan sebelum ini, lafaz akad korban bagi kawasan DUN yang diwakili ADUN beragama Islam akan disempurnakan oleh ADUN terbabit atau wakilnya.
Kata beliau, sementara bagi kawasan ADUN bukan beragama Islam pula, Pegawai Tadbir Agama Daerah akan melaksanakan proses akad mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Di samping itu beliau berkata, pelaksanaan ibadah korban juga akan berpandukan garis panduan khusus yang akan diedarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak, termasuk aspek wakalah antara pihak terlibat bagi memastikan pematuhan dari sudut syarak.
“Pelaksanaan ibadah korban ini juga akan dilaksanakan berpandukan peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Perak serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
“Ia bagi menjamin kelancaran dan pematuhan dari segi syarak dan kesihatan awam,” jelas beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Ahli perniagaan laksana ibadah korban tanpa henti sejak 25 tahun lalu