Lantik Ketua Pesuruhjaya SPRM dalam kalangan pegawai kanan suruhanjaya itu – MCW

KUALA LUMPUR – Pengganti kepada Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada masa depan harus dipilih dalam kalangan pegawai kanan SPRM sendiri.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ia penting bagi memastikan kesinambungan dasar, operasi dan pengurusan agensi dapat diteruskan secara berkesan.

Menurut beliau, pegawai dalaman lebih memahami sistem kerja SPRM, budaya organisasi serta cabaran operasional agensi terbabit di lapangan.

Sekiranya individu luar dilantik, jelasnya, masa yang panjang akan diperlukan untuk memahami struktur dan tanggungjawab SPRM yang kompleks.

“Lebih utama, pengganti yang dilantik perlu bersedia menimba ilmu serta mengambil iktibar daripada pengalaman luas Tan Sri Azam Baki demi kesinambungan agenda pembanterasan rasuah negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Azam dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi tempoh setahun berkuat kuasa 13 Mei lalu, atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini, Azam, 62, telah dua kali dilantik semula bagi memegang jawatan itu masing-masing selama setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024 dan dari 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025.

Mengulas mengenai lantikan semula Azam itu, Jais berkata, MCW mengiktiraf di bawah kepimpinan Azam, SPRM berjaya menunjukkan anjakan keberanian dan kecekapan dalam menyiasat kes-kes berprofil tinggi termasuk yang melibatkan ahli politik, pegawai kanan kerajaan dan tokoh korporat besar.

Malah, katanya, keupayaan Azam memimpin siasatan melibatkan penyelewengan dana awam dan aktiviti pengubahan wang haram juga menjadi pemangkin kepada peningkatan kepercayaan rakyat terhadap institusi pencegahan rasuah negara.

“MCW menyokong mekanisme pelantikan sedia ada bagi jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, sebagaimana juga pelantikan bagi jawatan tinggi lain dalam kerajaan seperti Ketua Audit Negara dan Peguam Negara.

“Proses ini dilihat rasional dan telah diterima masyarakat,” katanya.

Bagaimanapun, tambah Jais, MCW berpandangan sebarang pemberhentian mengejut terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM mestilah dilakukan melalui sebuah tribunal khas yang bebas dan profesional.

Langkah itu, jelasnya, penting bagi memastikan ketelusan, mengelakkan sebarang campur tangan politik serta menjaga maruah institusi tersebut sebagai entiti bebas yang bertanggungjawab kepada rakyat dan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI