IPOH – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memberi makan kepada monyet kerana tindakan tersebut menjadi punca utama perubahan tingkah laku haiwan tersebut menjadi agresif dan bergantung kepada manusia.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Perak, Teh Kok Lim berkata, Kerajaan Negeri Perak menerusi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengatur beberapa perancangan telah dan sedang dilaksanakan bagi menangani masalah kacau ganggu haiwan tersebut.
Menurutnya, antara langkah yang diambil adalah mempergiat kempen kesedaran bagi mendidik masyarakat dengan menyampaikan garis panduan pengurusan konflik hidupan liar kepada komuniti setempat.
“Kerajaan negeri menerusi Perhilitan memandang serius peningkatan aduan berkaitan kacau ganggu monyet di beberapa kawasan di negeri ini yang melibatkan keselamatan penduduk, kerosakan tanaman serta gangguan kepada ternakan.
“Dalam usaha menangani isu ini secara lebih berkesan dan bersepadu, beberapa perancangan telah dan sedang dilaksanakan termasuk, pengukuhan operasi kawalan populasi dan melaksanakan operasi tangkapan menggunakan perangkap di kawasan hotspot aduan.
“Selain itu, pelaksanaan pelupusan secara terkawal bagi kes-kes tertentu yang kritikal dan berisiko tinggi turut dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Akmal Kamarudin (PN-Selama) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Teh berkata, pemantauan dan respons aduan yang lebih cekap juga dilakukan dengan mempertingkatkan sistem pemantauan kawasan berisiko serta mempercepatkan tindakan respons terhadap aduan awam.
Tambahnya, penilaian berkala turut dijalankan bagi memastikan keberkesanan langkah-langkah yang dilaksanakan.
“Kerajaan negeri komited untuk memastikan isu kacau ganggu monyet ini ditangani secara menyeluruh dengan mengambil kira keseimbangan antara keselamatan manusia dan pemuliharaan hidupan liar,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak teguh pelihara alam sekitar, biodiversiti melalui Perhilitan


