MAHU melihat haiwan purba dinosaur Tyrannosaurus rex atau T-Rex, serpihan meteor yang terhempas di Amerika Syarikat serta kayu yang berubah menjadi batu?
Kesemuanya boleh ditemui di Muzium Geologi, destinasi pelancongan berasaskan pendidikan yang membawa pengunjung mengenali sejarah bumi, kekayaan mineral dan warisan perlombongan negara.
Terletak di kompleks Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) di Jalan Sultan Azlan Shah, di Ipoh, muzium itu merupakan Muzium Geologi pertama di Malaysia.

Ia menempatkan hampir 700 spesimen batuan, mineral, fosil dan batu permata dari dalam serta luar negara, selain koleksi kasiterit atau bijih timah yang ditemukan di lombong sekitar Lembah Kinta.
Ruang pamerannya dibahagikan kepada tujuh zon, iaitu Zon A hingga G, yang disusun bermula dengan struktur dan sejarah bumi sebelum membawa pengunjung mengenali mineral, kegunaan sumber bumi, aktiviti perlombongan dan eksplorasi.
Zon B antara yang menarik perhatian terutama pengunjung cilik apabila menampilkan koleksi fosil dan batuan, termasuk patung T-Rex yang boleh bergerak dan mengaum.

Bagi penggemar batu permata pula, Zon C mempamerkan pelbagai mineral, kristal dan batu permata, manakala Zon D menerangkan pengunjung tentang kegunaan mineral dalam kehidupan manusia.
Zon E dan F pula mengetengahkan aktiviti perlombongan serta eksplorasi mineral dan geologi marin.

Sementara itu, Zon G membawa pengunjung memahami isu lebih luas berkaitan bencana geologi, lombong dan kuari, hidrogeologi, sumber mineral, geowarisan serta sumbangan geologi terhadap pembangunan negara.
Antara koleksi unik yang dipamerkan ialah logam meteor dari Arizona, Amerika Syarikat, selain kayu terkejur atau ‘petrified wood’ yang ditemui dari dalam dan luar negara.
Untuk maklumat, kayu terkejur ialah fosil yang terbentuk apabila bahan organik tumbuhan bertukar menjadi mineral, lazimnya silikat seperti kuarza, dengan struktur asal kayu masih terpelihara.

Muzium Geologi turut mempamerkan Diorama Lombong Timah Pam Kelikir berskala 1:55 serta diorama pelbagai kaedah perlombongan bijih timah yang menggambarkan sejarah industri perlombongan di Lembah Kinta.
Selain koleksi fizikal, model dan ilustrasi grafik tiga dimensi turut digunakan bagi menerangkan kaitan geologi dengan pembinaan infrastruktur, sumber air tanah dan pemeliharaan geowarisan Malaysia kepada pengunjung.

Dari sudut sejarah, pembinaan muzium bermula dengan perletakan batu asas oleh Raja Muda Perak ketika itu, Raja Idris Shah Sultan Iskandar Shah pada Julai 1955 sebelum siap didirikan pada 1957.
Ruang pameran kemudiannya diperluaskan pada tahun 1978, manakala kerja menaik taraf dilaksanakan pada 2009 hingga 2010 bagi memperkukuh peranannya sebagai pusat pendidikan dan pembelajaran geologi serta geosains.

Selepas dinaik taraf, pembukaan muzium disempurnakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar ketika itu, Datuk Douglas Uggah Embas pada 1 November 2011.
Kini, Muzium Geologi bukan sahaja menjadi pusat rujukan peminat batuan dan pengkaji geologi, malah menawarkan pengalaman pembelajaran yang sesuai untuk pengunjung yang mahu mengenali sejarah bumi dan warisan perlombongan negara.
Ia boleh dilawati pada Isnin hingga Jumaat bermula pada jam 9 pagi sehingga 4.30 petang, dan kemasukan secara percuma.
Bagi yang mencari destinasi santai tetapi mempunyai nilai ilmu di Ipoh, Muzium Geologi boleh menjadi pilihan untuk pengunjung mengenali khazanah bumi menerusi koleksi unik, sejarah dan paparan geologi yang jarang ditemui di tempat lain. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Khidmat baik pulih barangan antik jadi keunikan Vintage Ipoh Gallery


