Tukang rumah China cari makan di Malaysia

KUALA LUMPUR – Kemudahan pengecualian visa ke Malaysia didapati disalahgunakan oleh segelintir tukang rumah dari China yang menawarkan perkhidmatan pengubahsuaian rumah.

Laporan Nanyang Siang Pau mendedahkan bahawa mereka menawarkan harga perkhidmatan yang jauh lebih rendah, iaitu antara 40 hingga 50 peratus berbanding harga pasaran tempatan.

Presiden Persatuan Interior Industry Partners, Elvin Tay, memberi amaran bahawa meskipun harga yang ditawarkan murah, pengguna berisiko tinggi sekiranya timbul masalah selepas kontraktor terbabit kembali ke negara asal.

Beliau menjelaskan bahawa kebanyakan tukang rumah ini bukan berasal dari bandar utama di China, tetapi mengambil kesempatan daripada kemudahan pengecualian visa untuk mencari rezeki di Malaysia.

“Mereka biasanya menerima projek jangka pendek yang dapat diselesaikan dalam tempoh satu hingga dua bulan,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Elvin menekankan risiko di sebalik harga murah yang ditawarkan, termasuk mutu dan prosedur kerja yang berkemungkinan tidak mengikut piawaian, serta asal usul bahan yang tidak dapat dipastikan.

Beliau menambah bahawa tukang rumah yang menawarkan harga rendah ini lazimnya tidak berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), dan bahan yang digunakan mungkin tidak mematuhi piawaian Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

“Tukang rumah seperti ini tidak melabur di Malaysia atau bekerjasama dengan pengusaha tempatan. Sebaliknya, mereka mengambil kesempatan daripada pengecualian visa untuk mencuba pasaran di sini,” ujarnya.

“Mereka akan pulang setelah gagal meraih keuntungan dan tidak akan menetap lama di Malaysia.

“Sekiranya timbul masalah di kemudian hari, mereka sukar dihubungi dan Tribunal Tuntutan Pengguna juga tidak dapat mengambil tindakan,” tegas Elvin.

Sehubungan itu, Elvin menggesa kerajaan untuk menutup kelemahan yang ada dalam sistem pengecualian visa.

Beliau turut menasihati pengguna agar lebih bijak dalam memilih syarikat pengubahsuaian yang sah bagi mengelakkan kerugian besar pada masa hadapan.

Sebelum ini, Dewan Perniagaan Malaysia-China melahirkan kebimbangan mengenai pengecualian visa selama 90 hari untuk pelawat dari China.

Presiden pertubuhan perniagaan itu, Datuk Loo Kok Seong berkata, perusahaan tertentu telah meluahkan kekhuatiran mengenai kemunculan perniagaan yang menawarkan harga terlampau rendah dan bersaing dengan peniaga tempatan.

Turut dilaporkan, jurufoto dari China menyalahgunakan pengecualian visa yang diberikan untuk menjalankan perniagaan di Melaka dan mengiklan melalui media sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI