KUALA LUMPUR – Malaysia akan memastikan ASEAN kekal relevan, responsif dan berpaksikan rakyat, selaras dengan wawasan jangka panjang ASEAN 2045 yang bakal dilancarkan.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 merupakan platform utama bagi pemimpin rantau untuk meneliti kemajuan dalam tiga tunjang utama membabitkan politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.
“Ia juga menjadi medan utama untuk membincangkan isu-isu serantau dan global yang semakin kompleks, termasuk isu Laut China Selatan, krisis kemanusiaan di Gaza dan Myanmar, tarif perdagangan unilateral oleh kuasa besar, cabaran ekonomi digital dan rantaian bekalan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada taklimat harian yang disiarkan menerusi laman Facebook, hari ini.
Sesi plenari dan retreat, sesi libat urus bersama Perwakilan Parlimen ASEAN (AIPA), wakil belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), Majlis menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 dan Majlis Makan Malam Gala ASEAN dijadual berlangsung pada hari ini.
Selain itu, beberapa mesyuarat dua hala juga dijadualkan berlangsung sepanjang hari bersama rakan-rakan strategik termasuk Kemboja, Singapura, China dan Kuwait.
Menurut Tunku Nashrul, melalui kepengerusian ASEAN, Malaysia berpeluang memperkukuh kerjasama diplomatik dan ekonomi serantau, termasuk dengan rakan dialog seperti Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.
Mengenai Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2, beliau memberitahu, ia akan mengukuhkan komitmen jangka panjang kedua-dua rantau yang telah menjalinkan hubungan sejak 1990.
Katanya, ASEAN dan GCC merupakan dua entiti ekonomi penting dengan jumlah dagangan mencecah AS$130.7 bilion dan Pelaburan GCC ke ASEAN sebanyak AS$390.2 juta.
“Sidang ini bakal meneliti pelaksanaan Rangka Kerjasama ASEAN GCC 2024-2028, termasuk inisiatif dalam perdagangan bebas, pendidikan, pembangunan mampan dan keterhubungan budaya serta digital,” ujarnya.
Sementara itu Tunku Nashrul berkata, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China merupakan inisiatif baharu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, bertujuan memperkukuh kerjasama ekonomi tiga hala dengan pihak terbabit.
Tambah beliau, ASEAN kini merupakan ekonomi kelima terbesar dunia dengan jumlah KDNK AS$3.8 trilion, manakala China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan dua hala berjumlah AS$696.7 bilion.
Katanya, sidang ini dijangka merangka strategi baharu dalam perdagangan, pelaburan, pembangunan infrastruktur mampan dan digitalisasi rantau. – MalaysiaGazette