Usaha Kerajaan Perak sokong gerakan koperasi wajar dicontohi

GERAKAN koperasi di Perak memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan ekonomi inklusif dan mampan, khususnya di peringkat komuniti di samping menyokong Pelan Perak Sejahtera 2030.

Berdasarkan maklumat daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Perak, terdapat 1,732 buah koperasi yang berdaftar di negeri ini.

Sebagai institusi ekonomi rakyat, koperasi memainkan pelbagai peranan dalam merealisasikan matlamat berkenaan demi kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar, dan kemakmuran ekonomi.

Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad amat cakna dengan pembangunan koperasi di negeri ini.

Hal itu dibuktikan apabila kerajaan negeri memperuntukkan RM620,000 bagi pembangunan dan kawal selia koperasi sepanjang 2024.

Hasil peruntukan berkenaan telah memberi manfaat kepada lebih 700 gerakan koperasi di Perak melibatkan lebih 35,000 anggota.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan replika cek Bantuan Perak Sejahtera Koperasi kepada penerima pada Program Gerakan Koperasi Santuni Masyarakat Orang Asal Negeri Perak di Pejabat JAKOA Batang Padang dan Muallim, Tapah, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 MAC 2025.

Tidak terhenti di situ, di bawah Belanjawan Perak 2025 kerajaan negeri telah memperuntukkan dana khusus berjumlah RM723,000 bagi memperkasa dan mengangkat agenda gerakan koperasi di negeri ini.

Peruntukan berkenaan akan disalurkan melalui beberapa program dan inisiatif seperti Geran Bantuan GKOP Urus dan GKOP Pulih; Program Pembangunan Perniagaan Gerakan Koperasi; Insentif Penghargaan Kepada Kejayaan Gerakan Koperasi dan Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Perak.

Selain itu, juga ia akan digunakan bagi Program Sejahtera Sosial Madani Melalui Platform Gerakan Koperasi; Bantuan Perak Sejahtera Koperasi (PESAK) dan Subsidi Jualan Koperasi Perak Sejahtera (JKPS).

Penambahan peruntukan tersebut memperlihatkan bahawa kerajaan negeri memandang serius peranan koperasi dalam mendukung Pelan Perak Sejahtera 2030 demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

Usaha Kerajaan Perak memastikan koperasi memainkan peranannya terbukti apabila 11 koperasi dari negeri ini tersenarai dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia bagi 2024 dan berada di tangga kedua selepas Wilayah Persekutuan.

Bagi memastikan agenda gerakan koperasi peringkat negeri Perak berjalan dengan lancar kerajaan negeri telah mengadakan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Negeri (MPKN) Perak Bilangan 1.0 bagi sesi 2025/2026 pada Februari lalu.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed hadir ke Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Negeri Perak (MKN PERAK) Sesi Tahun 2025/2026 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 25 FEBRUARI 2025.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, mesyuarat berkeaan juga bertujuan untuk diselari dengan kehendak pemegang taruh dan lain-lain pihak yang mempunyai hubungan dengan pembangunan koperasi.

Salbiah berkata, melalui MPKN Perak penyelarasan program melalui kerjasama antara Kerajaan Negeri Perak, agensi di peringkat negeri dan persekutuan dapat dilaksanakan secara lebih holistik dan terfokus.

Salbiah turut memaklumkan adalah menjadi harapan kerajaan negeri agar dana yang diperuntukkan akan memberikan impak positif yang besar kepada koperasi di Perak.

“Melalui pengukuhan sektor koperasi, diharapkan dapat memperkasa ekonomi tempatan, membuka peluang pekerjaan, serta meningkatkan taraf hidup masyarakat khasnya di negeri Perak.

“Sebagai pemangkin ekonomi dan sosial, koperasi akan memainkan peranan penting dalam mencipta peluang perniagaan yang lebih inklusif dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Usaha yang dilakukan Kerajaan Perak dalam memastikan gerakan koperasi terus berkembang di negeri ini wajar dicontohi oleh semua pihak.

Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal hadir ke Program Eksplorasi Pasaran, Advokasi, dan Konsultansi Gerakan Koperasi Negeri Perak 2025 bertemakan ‘Moh Terokai Peluang Perniagaan Bersama Kerajaan Negeri Perak’, di Ladang Ternakan Rusa PROSPEK Lenggong.

Hal itu disuarakan oleh Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal semasa Program Eksplorasi Pasaran, Advokasi, dan Konsultansi Gerakan Koperasi Negeri Perak 2025 di Lengong baru-baru ini.

Beliau turut memuji usaha Menteri Besar Perak bersama Exco terlibat yang sentiasa memberi sokongan penuh terhadap koperasi dalam memastikan ia terus berkembang.

Beliau berkata, pengiktirafan serta keprihatinan kerajaan negeri amat penting dalam memastikan gerakan koperasi berjaya dan memberi manfaat bukan sahaja kepada ahli malah juga rakyat.

“Di Perak ini keprihatinan kerajaan negeri terhadap gerakan koperasi merupakan antara yang terbaik dan koperasi di Perak amat beruntung.

“Jadi saya berharap gerakan koperasi di Perak mengambil peluang ini demi kelangsungan perniaaan koperasi masing-masing,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI