IPOH – Ibu bapa disaran mengetepikan stigma masyarakat terhadap rawatan kesihatan mental dan segera mendapatkan intervensi awal sekiranya anak mereka dikesan menunjukkan tanda-tanda awal gangguan emosi.
Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony berkata, adalah suatu kebiasaan sebagai ibu bapa apabila berasa bimbang terhadap tanggapan dari anggota keluarga lain serta komuniti setempat tatkala anak mereka didiagnos mengalami masalah mental.
Katanya, bagaimanapun perasaan itu perlu dikikis dengan memberi keutamaan kepada kesihatan mental anak mereka agar dapat menjalani proses pemulihan seawal mungkin.
“Jika langkah intervensi dilakukan ketika anak mereka masih dalam proses perkembangan, ia lebih mudah untuk membentuk mereka berbanding jika sudah berada pada usia yang lebih tua, dengan penyakit yang lebih ketara dan sukar dikawal.
“Tambahan pula, apabila mereka melalui alam persekolahan dengan keadaan kesihatan mental yang tidak dirawat, ia akan menyebabkan mereka ketinggalan daripada segi pelajaran.
“Oleh itu penting untuk ibu bapa dapat membawa anak-anak mereka mendapatkan rawatan awal, jangan bimbang dengan pandangan orang luar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Persidangan Kesihatan Mental dan Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja di Hotel Casuarina@Meru dekat sini, pada Selasa.
Persidangan dirasmikan Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan.
Tambah Dr Ian, isu kesihatan mental yang dialami golongan kanak-kanak dan remaja di negara ini menunjukkan trend peningkatan sejak pasca penularan wabak COVID-19.
Jelas beliau, perkembangan teknologi dan penggunaan media sosial masa kini turut menjadi antara penyumbang kepada masalah kesihatan mental kepada golongan muda itu.
Oleh itu beliau berkata, ibu bapa harus memainkan peranan penting dalam mengawal penggunaan media sosial anak mereka agar masalah berkenaan dapat dibendung.
“Selain tekanan luar, penggunaan media sosial masa kini juga menjadi antara penyumbang kepada masalah ini. Namun, kita perlu menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi ini.
“Walaupun ada keburukannya, namun penggunaan teknologi secara berhemah juga mampu membawa kepada kebaikan. Yang penting ialah mencari keseimbangan dalam menghadapi perkembangan ini,” katanya.
Menurut Dr Ian, Hospital Bahagia Ulu Kinta bersedia dengan tangan terbuka untuk mana-mana ibu bapa yang mahukan anak mereka menerima rawatan di bawah Unit Perkhidmatan Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja.
Kata beliau, selain di Ulu Kinta, perkhidmatan sama turut disediakan di fasiliti kesihatan awam lain iaitu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan Hospital Taiping.
“Sebenarnya, anda tidak memerlukan surat rujukan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia. Sebaliknya sesiapa sahaja boleh datang terus ke hospital, dan tenaga pakar kami sentiasa bersedia untuk memberikan rawatan serta-merta,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: