IPOH – Masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja pada masa kini sering berpunca daripada pelbagai faktor yang saling berkait.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, ia termasuk daripada tekanan dalam persekitaran keluarga serta cabaran di institusi pendidikan.
Kata beliau, faktor lain yang turut menjadi penyumbang kepada perkara itu adalah kesan penggunaan media sosial yang berlebihan, pengalaman trauma atau penderaan, serta masalah perkembangan neuro yang tidak dikenal pasti atau tidak ditangani sejak awal.
“Selain itu, ketidakseimbangan sokongan emosi dan sosial juga menyumbang kepada peningkatan risiko masalah kesihatan mental dalam kalangan golongan muda ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kesihatan Mental dan Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja di Hotel Casuarina@Meru dekat sini, pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr. Ian Lloyd Anthony serta Ketua Perkhidmatan Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Yusni Yusuff.
Persidangan yang berlangsung selama tiga hari sehingga Rabu itu melibatkan penyertaan lebih daripada 300 orang profesional kesihatan mental dari seluruh negara.
Sivanesan berkata, persidangan itu menekankan perbincangan mendalam mengenai penilaian dan intervensi untuk masalah perkembangan neuro serta gangguan kesihatan mental kanak-kanak dan remaja.
Ujar beliau, tiga bengkel interaktif turut diadakan meliputi topik penting seperti intervensi bagi autisme, ketagihan tingkah laku dalam kalangan remaja, dan masalah kesukaran hadir ke sekolah.
Mengulas lanjut Sivanesan berkata, Kerajaan Negeri Perak komited menyokong usaha memperkukuh jaringan perkhidmatan mental kanak-kanak dan remaja, menerusi kerjasama antara sektor kesihatan, pendidikan, komuniti dan agensi kebajikan.
Kata beliau, persidangan itu akan menjadi pemangkin kepada kerjasama merentas bidang dan agensi dalam memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan mental yang lebih inklusif.
“Saya telah meminta agar dapatkan akhir daripada Persidangan Kesihatan Mental dan Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja ini untuk direkodkan.
“Ia supaya kemudiannya kita dapat serahkan ia kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada 10 Jun lalu,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: