IPOH – Kerajaan Negeri Perak melancarkan dokumen Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030 dan ‘Blueprint’ atau Rangka Tindakan Bandar Pintar Negeri Perak 2040, pada Rabu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kedua-dua dokumen berkenaan akan memperkukuhkan lagi usaha kerajaan negeri menjayakan Pelan Perak Sejahtera 2030 dan menyumbang kepada matlamat Malaysia sebagai Negara Pintar menjelang 2040.
Katanya, Pelan Tindakan Ekonomi Digital Perak 2030 memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu akses kepada infrastruktur digital berkualiti, pentadbiran awam cekap digital, ekosistem perniagaan rancak dipacu pendigitalan, dan masyarakat pendigitalan.
“Sebanyak 21 program telah dikenal pasti, dengan lima projek pemangkin diberikan keutamaan termasuk, perluasan capaian digital, pembinaan ‘Point-of-Presence’ (POP) dan penggunaan satelit orbit rendah (LEO) untuk kawasan luar bandar.
“Kita juga giat memajukan sistem bayaran tanpa tunai dan ‘Point-of-Sale’ (POS) untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) membangunkan kluster perkhidmatan digital.
“Ia seperti ‘Global Business Services’ (GBS) di Ipoh, serta menubuhkan pusat kecemerlangan seperti ‘Smart Perak Research’ and ‘Innovation Centre’ (SPRIN) dan ‘AI Academy’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030 Dan Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040 di Hotel Casuarina@Meru, dekat sini, pada Rabu.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching serta Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi.
Menurut Saarani, sumbangan sektor digital amat signifikan dalam pertumbuhan ekonomi negeri apabila ia menyumbang sekitar 15 peratus atau RM12 bilion daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang berjumlah RM80.2 bilion pada tahun 2022.
“Menjelang tahun 2030, sumbangan sektor ini dijangka meningkat secara ketara, dengan unjuran pertambahan antara RM2 bilion hingga RM4.2 bilion kepada KDNK negeri selaras dengan peralihan ekonomi ke arah pendigitalan.
“Jangkaan pertumbuhan ini adalah selari dengan sasaran nasional untuk mencapai sumbangan ekonomi digital sebanyak 25 peratus kepada keseluruhan KDNK negara menjelang 2030,” jelas beliau.
Sementara itu, Saarani berkata, Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040 menggariskan tujuh komponen utama, 22 dasar, 52 strategi dan 132 inisiatif secara berfasa bagi tempoh 15 tahun bermula tahun ini.
Jelas beliau, empat pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Ipoh, Majlis Perbandaran Teluk Intan, Majlis Perbandaran Manjung dan Majlis Daerah Kampar, telah dikenal pasti sebagai ‘early adopter bagi pelaksanaan awal agenda bandar pintar di negeri ini.
“Pelaksanaan blueprint ini akan memacu pembangunan bandar yang lebih inklusif, responsif dan mampan dengan berteraskan pendekatan ‘People-Centric Smart City’, iaitu pembangunan bandar yang berpaksikan keperluan dan kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan negeri turut menubuhkan Majlis Ekonomi Digital Negeri Perak (MEDi) dan Jawatankuasa Pemandu Bandar Pintar Negeri Perak bagi memastikan pelaksanaan kedua-dua pelan ini bergerak secara terancang dan berimpak tinggi,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak berhasrat perbanyakan Bandar Pintar menjelang 2040