GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menegaskan insentif diskaun lima peratus yang digalakkan kepada pemaju swasta bagi pembeli rumah pertama dalam kalangan masyarakat India Muslim tidak menjejaskan dasar perumahan sedia ada termasuk kuota bumiputera.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, inisiatif itu bersifat sukarela dan dilaksanakan atas dasar tanggungjawab sosial oleh pihak pemaju tanpa melibatkan sebarang bentuk subsidi atau sokongan kewangan daripada kerajaan negeri.
“Diskaun ini tidak melibatkan unit di bawah kuota bumiputera serta tidak menjejaskan mana-mana dasar sedia ada berkaitan pemilikan rumah.
“Segala dasar yang sedang berkuat kuasa termasuk kuota Bumiputera kekal utuh dan akan terus dilaksanakan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Sundarajoo, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha memperluaskan akses pemilikan rumah dalam pasaran terbuka, khususnya bagi kumpulan yang masih rendah kadar penyertaannya dalam sektor hartanah tanpa mengganggu hak kaum lain.
“Insentif ini tidak meminggirkan mana-mana kaum dan bersifat tambahan kepada pelbagai program sedia ada yang telah dirangka untuk memenuhi keperluan perumahan rakyat negeri ini.
“Kerajaan negeri berharap pendekatan ini dapat membantu merancakkan semula pasaran hartanah yang terkesan akibat peningkatan kos bahan binaan dan tenaga kerja, serta memastikan pembangunan yang lebih seimbang, mampan dan inklusif di Pulau Pinang,” katanya.
Terdahulu, DAP Pulau Pinang dalam kenyataan menegaskan akan membawa isu pemberian diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim bagi pembelian unit hartanah tidak terjual (overhang) untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri akan datang.
Pengerusinya, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah itu dibuat susulan maklum balas orang awam berhubung dasar berkenaan yang tular sejak beberapa hari lalu. – MalaysiaGazette