Nahas Pelajar UPSI: Wan Nur Suhaila sempat masak mi celup buat keluarga

GERIK – Salah seorang mangsa nahas jalan raya yang mengorbankan 14 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi tadi sempat menyediakan mi celup untuk dijamah ahli keluarganya sebelum pulang ke Tanjung Malim.

Allahyarhamah Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22, berasal dari Jertih Terengganu, itu turut berpeluang merayakan sambutan Aidiladha bersama lapan adik beradiknya.

Abang mangsa, Wan Muhammad Sham, 31, berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa adiknya itu sekitar jam 3.30 pagi selepas menerima panggilan daripada ibunya.

“Saya tengah tidur ketika itu kemudian emak kejutkan beritahu adik terlibat dalam kemalangan. Dia tahu daripada rakan yang menelefonnya dalam jam 3.30 pagi.

“Masa itu kami cuma tahu adik kemalangan sahaja tetapi apabila sampai sahaja di sini (Hospital Gerik) kami diberitahu adik meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gerik, di sini pada Isnin.

Tambahnya kali terakhir bertemu dengan adiknya adalah sebelum arwah pulang ke Tanjung Malim menaiki bas dan anak ke enam dari sembilan beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.

“Raya Aidiladha ini kami semua sembilan beradik ada balik dan sempat bersalaman memohon maaf pagi raya macam biasa.

“Arwah adik juga sempat masak mi celup untuk kami semua makan sebelum di balik,” katanya.

Wan Muhammad Sham berkata, jenazah adiknya yang mesra di panggil Kak La akan dibawa pulang ke Jertih, Terengganu selepas proses bedah siasat di Hospital Gerik.

Terdahulu, media melaporkan seramai 15 pelajar UPSI disahkan maut manakala tujuh parah apabila bas yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke universiti itu terbabit dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak.

Difahamkan bas yang membawa pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tajung Malim, Perak. – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI