IPOH – Bantuan segera sebanyak RM3,000 disalurkan kepada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terbabit dalam nahas di Jalan Raya Timur- Barat, berhampiran Tasik Banding, Gerik awal pagi Isnin.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, daripada jumlah itu RM2,000 disalurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) manakala RM1,000 daripada UPSI.
Menurutnya, bantuan KPT bagi membantu keluarga mangsa yang meninggal dunia untuk pengurusan jenazah.
“Alhamdulillah, di peringkat kementerian khususnya KPT, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan, kami turut berhubung di antara satu sama lain untuk memastikan supaya langkah-langkah yang pantas dapat kita berikan dalam usaha membantu mangsa dan keluarga mangsa.
“Di peringkat ini, segala keperluan-keperluan asas khususnya bagi menguruskan jenazah yang terbabit telah pun disediakan termasuklah penyediaan van jenazah untuk dihantar ke destinasi masing-masing sudah pun dibuat persiapan.
“Manakala, bantuan-bantuan yang yang lain bagi memastikan keluarga, ibu bapa yang terlibat bersama-sama berada di kawasan ini (Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB)) dan termasuk di Hospital Gerik telah pun kita ambil perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di HRPB di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Dalam pada itu, Zambry memaklumkan telah mendapatkan beberapa bantuan lain termasuk bantuan pengebumian, insurans perlindungan dan bantuan zakat.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan kesemua 13 jenazah telah tiba Jabatan Forensik HRPB dan urusan bedah siasat dijangka selesai lewat malam ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bas persiaran disewa pelajar sendiri untuk perayaan Aidiladha – Naib Canselor UPSI