TANJUNG MALIM – Keresahan penduduk akibat ketiadaan perkhidmatan ambulans di Klinik Kesihatan Gunung Besout dekat sini berakhir apabila Kerajaan Negeri Perak menyerahkan ambulans ganti pada Isnin.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, masalah itu bermula sejak Februari 2023 dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah membuat permohonan untuk mendapatkan ambulans baharu untuk klinik tersebut.
Menurutnya, isu berkaitan ambulans ini juga telah dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri yang lalu dan kerajaan negeri telah memaklumkan untuk membekalkan ambulans kepada klinik tersebut pada pertengahan tahun ini.
“Sebelum ini, klinik berkenaan mempunyai satu unit ambulans yang beroperasi. Bagaimanapun, kenderaan tersebut selalu rosak dan pada 2023 ia tidak dapat dibaiki mengikut penilaian Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Selain memohon untuk mendapatkan ambulans baharu untuk klinik ini, JKN turut mengemukakan permohonan sama tetapi di beberapa kawasan lain termasuk di kawasan saya dekat Klinik Kesihatan Sungkai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan ambulans tersebut di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, sebelum ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan tender untuk pembelian 500 ambulans baharu.
“Bagaimanapun, syarikat yang berjaya mendapatkan tender tersebut tidak dapat melaksanakan tanggungjawab tersebut dan kini proses tender baharu sedang berjalan.
“Jadi sementara menunggu ambulans baharu itu diperoleh, kita beri dahulu ambulans dari lokasi lain dan saya mengunakkan peruntukan sendiri sebanyak RM25,000 bagi kerja-kerja pembaikan kecil, sekiranya ambulans ini rosak,” jelasnya.
Sementara itu, Sivanesan menjelaskan masih banyak klinik kesihatan negeri ini yang belum memiliki ambulans sendiri tetapi keutamaan diberikan kepada Gunung Besout memandangkan lokasinya yang jauh dari hospital.
Beliau berkata, Perak mempunyai 86 Klinik Kesihatan, 126 Klinik Desa, empat Klinik Bergerak dan 15 hospital kerajaan bagi menampung perkhidmatan kesihatan penduduk di negeri ini.
“Macam di Klinik Kesihatan Sungkai tiada ambulans tetapi lokasinya dekat dengan hospital Tapah dan Slim River. Berbeza dengan Besout, ke Tapah sahaja 47 kilometer, ke Teluk Intan pula 60 hingga 70 kilometer. Jadi lokasi dari Besout ke hospital agak jauh,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan, penduduk menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Ambulans Felda Gunung Besout dengan hasrat untuk menyerahkan petisyen rayuan kepada KKM untuk mendapatkan sebuah ambulans.
Jawatankuasa itu berjaya mengumpulkan lebih 2,000 tandatangan petisyen secara fizikal dan dalam talian sejak 1 Jun lalu. – MG Perak