PUTRAJAYA – Pelakon dan penyanyi Naim Daniel, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan bawah umur di sebuah hotel di Petaling Jaya, 19 Mei lalu.
Naim Daniel atau nama sebenarnya, Muhammad Naim Daniel Baharin membuat pengakuan itu selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.
Mengikut pertuduhan, Naim, 28, melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berumur 17 tahun tujuh bulan di sebuah hotel di Petaling Jaya, jam 8.56 malam.
Naim Daniel melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.
Akta itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.
Terdahulu artis lelaki itu yang mengenakan kemeja berwarna putih serta lengkap bertali leher dan blazer tiba di pekarangan Istana Kehakiman, di sini, kira-kira jam 8.30 pagi tadi.
Naim diwakili peguam Mohd Irwan Sumadi dan Amirul Ridzuan Hanif.
Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzah Shaharuddin.
Terdahulu Nurul Izzah menawarkan jaminan RM15,000 dan syarat tambahan termasuk pasport ditahan sementara, manakala tertuduh tidak mengganggu mangsa atau mana-mana saksi pendakwaan.
Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh juga diarahkan untuk menyerahkan pasport antarabangsa diserahkan kepada pihak mahkamah sehingga kes selesai.
Hakim turut mengarahkan tertuduh agar tidak mengganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan lain dengan apa-apa cara sekalipun.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 18 Ogos ini sebagai tarikh sebutan kes itu. – MalaysiaGazette