IPOH – Festival Seni Antarabangsa Ipoh (IIAF 2025) bertemakan, ‘Gema: Seni, Penyembuhan dan Masa Depan’ meneruskan misi bagi menjadikan bandar raya ini sebagai destinasi utama penganjuran seni kontemporari di peringkat serantau dan antarabangsa.
Program kali keempat anjuran agensi kreatif di bawah Kerajaan Negeri Perak, Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) itu menghimpunkan kira-kira 100 seniman, penggiat seni visual, pemuzik dan pengamal budaya dari dalam dan luar negara.
Selain Malaysia, negara luar yang turut menyertai festival itu adalah Amerika Syarikat, Perancis, Jepun, Thailand, Singapura, Indonesia dan Belanda.
Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Mohamad Hamidi Baharuddin berkata, festival dwi tahunan ini akan berlangsung dari 19 Julai sehingga 3 Ogos di Pusat Inovasi dan Sumber Kreatif Perak (PINCER), di sini.
Menurutnya, antara rakan strategik serta agensi kreatif yang terlibat pada festival kali ini adalah PINCER, Tourism Perak, Pusat Pembangunan Modal Insan, Japan Foundation Kuala Lumpur, CK Music dan Balai Seni Negara.
“Objektif penganjuran festival ini adalah untuk menyediakan platform kreatif kepada penggiat seni untuk berkarya, mempamerkan bakat dan juga menjalinkan kolaborasi antara satu sama lain.
“Ini secara tidak langsung dapat menarik kehadiran pelancong domestik serta antarabangsa khususnya pencinta seni dan budaya.
“Dalam masa sama, ia mengukuhkan pengiktirafan Ipoh sebagai bandar kreatif UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dalam bidang muzik yang diiktiraf pada tahun 2023.
“Penganjuran festival ini dilihat menyokong agenda pembangunan kreatif kerajaan negeri melalui Pelan Perak Sejahtera 2030 dengan menumpukan kepada potensi seni sebagai pemangkin pertumbuhan negeri.
“Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan penuh kepada aktiviti-aktiviti seni yang telah dianjurkan oleh program Perak terutamanya seperti IIAF 2025,” katanya pada sidang media khas mengenai festival tersebut di PINCER, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin dan Pengarah Produksi Pusat Inovasi dan Sumber Kreatif PINCER Studio, Jeremiah Foo.
Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah PORT berkata, antara fokus program IIAF 2025 adalah persembahan muzik, teater dan tarian oleh artis tempatan serta luar negara.
“Seterusnya pameran seni visual dan media baharu, bengkel wacana seni dan aktiviti pembangunan kapasiti program seni komuniti, meraikan identiti warisan tempatan dan seterusnya pertukaran budaya serta kerjasama rentas negara,” jelasnya.
Perasmian pembukaan IIAF 2025 akan berlangsung di pentas utama PINCER, jam 5 petang pada 19 Julai depan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: