‘eKSPerk’ pemudah cara daftar kes mahkamah syariah terpilih di Perak

IPOH – Modul Awam Elektronik Kehakiman Syariah Perak (eKSPerk) menjadi laman sesawang rasmi pertama seumpamanya di Malaysia sebagai pemudah cara bagi penyediaan borang pendaftaran bagi kes-kes terpilih di Mahkamah Syariah di negeri ini.

Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor berkata, laman sesawang berkenaan dibangunkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Perak.

Menurut beliau, eKSPerk boleh digunakan bagi permohonan perceraian persetujuan, tuntutan pengesahan lafaz cerai, permohonan nikah bawah umur dan permohonan wali hakim.

“Ini kerana kebiasaannya, orang awam yang tidak menggunakan khidmat peguam akan menghadapi masalah dalam penyediaan dokumentasi, termasuk borang-borang yang dikehendaki di bawah undang-undang.

“Sebelum ini, orang awam sering datang ke mahkamah untuk bertanyakan cara menyediakan dokumen berkaitan.

“Bagaimanapun, mahkamah sebagai pihak berkecuali tidak boleh membantu dalam penyediaan dokumen tersebut, maka mereka (orang awam) terpaksa merujuk kepada person writer ataupun melantik peguam.

“Jadi, bagi mereka yang rasa berkeupayaan untuk melantik peguam, mereka bolehlah menggunakan khidmat peguam, bagi orang awam yang rasa tidak berkemampuan, dia boleh menggunakan portal awam ini untuk mengisi dokumentasi yang diperlukan.

“Justeru, portal awam ini dibangunkan sebagai satu bentuk template yang memudahkan orang awam untuk memasukkan maklumat serta fakta kes bagi kes-kes tertentu,“  katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Kecemerlangan 2024 Jabatan Kehakiman Syariah Perak di hotel M Roof, di sini pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Ab Rahman Thobroni menjelaskan, sebelum ini orang awam menghadapi kesukaran mendapatkan khidmat penyedia dokumen kerana kos yang tinggi.

“Maka, pihak jabatan mengambil inisiatif mewujudkan sistem eKSPerk sebagai satu platform penyediaan borang yang memudahkan orang awam menyediakan dokumen yang diperlukan.

“Borang tersebut akan diisi dan dicetak, maksudnya perlu ada borang fizikal sebelum dikumpulkan untuk diserahkan kepada mahkamah.

“Bagaimanapun, pada masa akan datang kami sedang berusaha menaik taraf laman sesawang itu supaya dokumen yang diisi di dalam eKSPerk akan terus dipaparkan pada sistem e-syariah,“ ujarnya yang memaklumkan laman sesawang eksperk.perak.gov.my sudah boleh diakses sejak 10 Jun lalu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin titah Mahkamah Syariah di Perak dilengkapi teknologi terkini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI