MELAKA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (taska) di Semabok, di sini sejak Mac lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) taska itu menunjukkan bayi berusia antara tiga atau empat bulan itu dihantar ke taska berkenaan oleh pasangan lelaki dan wanita pada 17 Mac lalu.
“Bagaimanapun sehingga kini individu yang dianggarkan berumur lingkungan 40-an itu masih tidak mengambil bayi terbabit yang dipanggil Arisa.
“Ketika dihantar ke taska, Arisa tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan tidak diambil semula sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, setakat ini bayi berkenaan diletakkan di bawah jagaan JKM dan disiasat dijalankan di bawah Seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-kanak 2001.
Sehubungan itu, JKM Melaka menyeru ibu kandung atau mana-mana waris untuk segera tampil membantu proses kebajikan bayi dengan menghubungi Pelindung Kanak-kanak atau Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Melaka Tengah di talian 06- 3333333. – MalaysiaGazette