IPOH – Seorang lelaki maut dengan kesan tikaman di perut dalam kejadian di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Tasek Damai, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 30 tahun yang merupakan anak mangsa ditahan di hadapan rumah tersebut pada jam 12.15 tengah malam tadi.
Menurutnya, beberapa barangan turut dirampas iaitu sebuah telefon bimbit, kamera papan pemuka kereta dan sebuah dekoder kamera litar tertutup (CCTV).
“Mangsa berusia 57 tahun itu bekerja sambilan sebagai penjual produk kesihatan tinggal bersama lelaki (suspek) di rumah tersebut dan kali terakhir dia menerima mesej daripada mangsa adalah sekitar jam 2.40 petang.
“Berdasarkan temubual dengan lelaki itu, dia memaklumkan bahawa ketika tiba di rumah, pintu pagar tertutup manakala pintu jeriji dan pintu cermin rumah berada dalam keadaan terbuka.
“Kedudukan sofa di ruang tamu juga tidak tersusun sebelum mendakwa menemui bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam keadaan terlentang berlumuran darah di ruang dapur,” katanya di sini pada Rabu.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Zainal Abidin berkata, pemeriksaan awal pada tubuh mangsa menemui kesan tikaman di bahagian kanan perut dan hirisan di dada kanan.
“Siasatan forensik di lokasi kejadian menjumpai sebilah pisau kecil berhulu kayu berukuran 22 sentimeter yang telah dibersihkan berada di atas sinki dapur dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: