Muzium main peranan penting bina perpaduan nasional

TAIPING – Institusi muzium di seluruh negara memainkan peranan penting dalam usaha membina perpaduan nasional menerusi pelbagai inisiatif yang berkesan.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator K. Saraswathy berkata, muzium berperanan sebagai wadah menyatukan rakyat pelbagai kaum untuk menghargai serta memahami sumbangan setiap komuniti dalam membentuk jati diri dan identiti negara.

Menurutnya, muzium turut menyediakan ruang yang luas kepada masyarakat, khususnya generasi muda, untuk mengenali dan menghargai warisan melalui pameran, bengkel, persembahan seni serta aktiviti interaktif.

“Pendekatan seperti ini sangat relevan dengan peredaran masa kini, di mana ilmu dan pengalaman disampaikan dalam bentuk yang lebih menarik dan mudah diakses.

“Konsep ini bukan sahaja memelihara warisan budaya bangsa, malah turut mengeratkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucapmerasmikan Fiesta Uniti @ Muzium Perak 2025 : Penyatuan Dalam Kepelbagaian di Muzium Perak, dekat sini, pada Sabtu.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim dan Pengarah Muzium Perak, Mohd Nasrulamiazam Mohd Nasir.

Saraswathy berkata, institusi muzium juga perlu dilihat sebagai rakan strategik kepada masyarakat serta bergerak seiring dengan perkembangan komuniti semasa.

Jelas beliau, muzium turut berperanan sebagai ruang pembelajaran tidak formal yang berkesan, terutamanya bagi pelajar sekolah.

“Pendidikan tidak seharusnya terhad di dalam bilik darjah sahaja. Di sinilah pelajar boleh belajar tanpa tekanan, manakala pengunjung pula dapat memahami sejarah bukan hanya melalui fakta, tetapi menerusi naratif, elemen visual dan pengalaman.

“Pendekatan ini membolehkan pengetahuan disampaikan dengan lebih mendalam dan, paling penting, dalam suasana yang menyeronokkan,” katanya.

Mengulas tentang penganjuran program tersebut, beliau berkata, ia menjadi contoh baik bagaimana institusi muzium mampu memainkan peranan proaktif dan bermakna dalam menyokong Dasar Perpaduan Negara.

“Penganjuran fiesta seperti ini membuktikan bahawa muzium bukan sekadar agensi kerajaan yang memelihara koleksi semata-mata, malah berfungsi sebagai platform titik pertemuan antara ilmu, seni, budaya dan perpaduan,” katanya.

Berlangsung selama dua hari bermula Sabtu, Fiesta Uniti @ Muzium Perak 2025 menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran pakaian tradisional, alat muzik dan perhiasan dari pelbagai komuniti Malaysia, pertandingan lagu patriotik, demonstrasi mencanting batik, anyaman rotan serta dan sebagainya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Cahaya pelita panjut sinari semangat perpaduan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI