LENGGONG – Dilancarkan pada 15 Jun 2022, Pelan Perak Sejahtera 2030 menggariskan sembilan agenda utama kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya.
Sembilan agenda yang digaris melibatkan Sekuriti Makanan, Ekonomi Digital, Pembuatan Keputusan Berpacukan Data, Koridor TVET Malaysia, Perlombongan Bertanggungjawab, Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri, Pembangunan Sosial, Kelestarian Alam dan Biodiversiti, serta Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Perak kini berada pada momentum yang kukuh dalam menjayakan sembilan agenda utama yang digariskan bagi memacu sosioekonomi negeri itu menjelang tahun 2030.
Menurut beliau, memasuki tahun ketiga pelaksanaan pelan Perak Sejahtera 2030, 108 daripada 272 projek dan inisiatif telah pun dijayakan manakala 128 lagi kini sedang dalam peringkat pelaksanaan.
“Kini terdapat 36 lagi projek dan inisiatif sedang diperhalusi untuk dilaksanakan.
“Selain itu, Kerajaan Negeri sudah mengenalpasti 127 lagi projek baru untuk disenaraikan di dalam Dashboard Perak Sejahtera 2030 bagi tujuan pemantauan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Laporan Kemajuan Tahun Ketiga pelan Perak Sejahtera 2030 di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) di sini, pada Isnin.
Saarani berkata, antara tumpuan penting yang diberikan pada masa ini ialah untuk menjayakan lima nod pertumbuhan negeri yang disasarkan sebagai pemacu ekonomi Perak dalam dekad mendatang.
Jelas beliau, lima nod pertumbuhan itu ialah Automotive High Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim, Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) di Manjung, Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan, Taman Industri Halal Perak (HIP) di Lekir dan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Kerian.
Pada masa yang sama, katanya, Perak mahu terus menyinar dalam bidang perlombongan bertanggungjawab selain menggariskan misi penting untuk meneroka secara lebih meluas tiga cabang baharu iaitu Ekonomi Biru, Ekonomi Hijau dan Ekonomi Penjagaan.
Beliau turut menekankan Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan memperkasa sektor pendidikan terutamanya dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai persediaan menyiapkan golongan muda menembusi pasaran kerja masa hadapan.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, beberapa indikator ekonomi menunjukkan Perak berjaya bangkit daripada kesuraman akibat pandemik COVID-19.
“Kita (Perak) pernah berada diambang kemelesetan apabila merekodkan defisit mencecah RM70 juta, tetapi kita bangkit dengan surplus untuk tiga tahun berturut-turut, termasuklah RM64 juta pada tahun 2023, yang tertinggi dalam sejarah.
“Kadar pengangguran yang menurun serta kadar penyertaan tenaga buruh yang meningkat dalam tempoh tiga tahun. Dan momentum pertumbuhan ekonomi juga semakin baik. Ini memberi keyakinan untuk menjayakan pelan Perak Sejahtera 2030,’’ ujarnya. -MG Perak