Perak jamin aktiviti lombong NR-REE tidak jejas alam sekitar

LENGGONG – Kerajaan Negeri Perak memberi jaminan bahawa aktiviti perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang sedang diusahakan tidak akan menjejaskan hutan dan alam sekitar di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebagaimana projek perintis yang dilaksanakan di Kenering, Gerik, ia mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan tiada pencemaran berlaku.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu khuatir kerana aktiviti perlombongan tersebut menggunakan kaedah mesra alam iaitu larut resap in situ atau ‘in-situ leaching’ (ISL) yang berbeza daripada kaedah perlombongan bijih timah secara konvensional.

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana tidak akan wujud lombong tinggal seperti dalam perlombongan bijih timah.

“Kaedah yang diguna pakai adalah kaedah mengekstrak (ISL) yang tidak melibatkan penebangan pokok sehingga boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Ketiga Perak Sejahtera 2030 di Kolej Kemahiran Tinggi MARA Lenggong, pada Isnin.

Perlombongan NR-REE Perak unsur nadir bumi bukan radioaktif, NR-REE mesra alam, perlombongan in-situ leaching Malaysia, projek mineral Perak, Perak Sejahtera 2030, perlombongan mampan, alam sekitar Perak
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika membentangkan Laporan Kemajuan Tahun Ketiga Perak Sejahtera 2030 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Lenggong, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 30 JUN 2025.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin; dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Azmir Shah Zainal Abidin.

Saarani menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa komited untuk memastikan sebarang projek pembangunan, khususnya berkaitan perlombongan mineral, tidak menjejaskan kelestarian alam sekitar.

“Perlombongan NR-REE menggunakan kaedah lebih moden, namun pendirian kita tetap tegas bahawa tiada sebarang aktiviti perlombongan yang mencemarkan alam sekitar akan dibenarkan di negeri ini,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, kerajaan negeri kini sedang memohon kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan industri pertengahan dan hiliran berkaitan NR-REE.

Jelas beliau, selepas pembukaan makmal analisis kandungan NR-REE, Terra Mineral Lab, kerajaan negeri menjangkakan industri berkaitan akan berkembang pesat dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Sumber mineral ini berpotensi menjadi antara penyumbang kekayaan baharu kepada negeri Perak, sebagaimana industri perlombongan bijih timah suatu ketika dahulu.

“Jika permohonan ini diluluskan, kita akan memiliki sebuah lagi makmal bagi peringkat pertengahan untuk memisahkan unsur NR-REE.

“Seterusnya, kita akan mencari pelabur bagi membangunkan sektor hiliran melibatkan penghasilan produk akhir seperti magnet, bateri dan perkakasan kenderaan elektrik (EV),” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak terima semula permit eksport lambakan NR-REE

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI