Perlembagaan Madinah tunjang pemerintahan Islam yang perlu difahami semula – Sultan Nazrin

PUTRAJAYA – Perlembagaan Madinah merupakan asas pemerintahan Islam yang sangat signifikan dan wajar dikaji sejajar dengan semangat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah, penggubalan kedua-dua perlembagaan itu memperlihatkan nilai-nilai perpaduan, keadilan, kerjasama antara pelbagai kaum dan pengiktirafan terhadap kedaulatan undang-undang yang menjadi asas penting pembinaan negara bangsa.

“Senario dan semangat yang terkandung di sebalik penggubalan Perlembagaan Madinah boleh dijadikan kajian perbandingan menarik dengan senario dan semangat yang terkandung di sebalik penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu,” titah baginda ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) Malaysia ke-73 di sini hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi MKI, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan serta wakil-wakil agensi agama seluruh negara.

Sultan Nazrin yang juga Pengerusi MKI bertitah Rasulullah SAW telah memperkenalkan dimensi baharu dalam tadbir urus ketika memimpin kota Madinah, dengan menjadikan prinsip kedaulatan undang-undang sebagai asas pemerintahan melalui penggubalan Perlembagaan Madinah.

Baginda bertitah, meskipun umat Islam ketika itu merupakan minoriti di Madinah, mereka mendapat kepercayaan untuk memerintah berasaskan kebijaksanaan Rasulullah SAW yang berjaya merangkai kerjasama dan menyatukan penduduk pelbagai kaum, puak dan agama.

“Negara Islam pertama di Madinah dibangunkan atas dukungan rakyat pelbagai kaum, puak, kabilah serta pegangan agama yang berlainan.

“Tergubal dalam Perlembagaan berkenaan komponen-komponen kesetiaan, kerjasama, toleransi, hormat-menghormati serta jaminan keadilan dan perlindungan saksama kepada setiap penduduk meskipun berlainan agama, kaum, puak dan kabilah,” titah baginda.

Menyentuh konteks tanah air, Sultan Nazrin bertitah Perlembagaan Persekutuan yang digubal ketika kemerdekaan turut mengangkat prinsip yang serupa, berpaksikan pemerintahan berperlembagaan, demokrasi berparlimen dan semangat muafakat antara kaum serta agama.

Baginda turut merakamkan penghargaan terhadap keikhlasan dan kepimpinan generasi terdahulu, khususnya tokoh seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman dan rakan pimpinan seangkatan yang berjaya membina negara bangsa atas asas kepercayaan, integriti dan perpaduan.

Sultan Nazrin bertitah terdapat kebimbangan terhadap kecenderungan semasa dalam kalangan umat Islam dan orang Melayu yang semakin mudah terjerumus dalam budaya memecah-belahkan, saling memburuk dan melemahkan sesama sendiri.

“Kini sumber kekuatan ummah dan bangsa kelihatan semakin diruntuhkan berpunca daripada pelbagai kemungkaran umat Islam dan orang Melayu yang pada ketika ini semakin berlumba-lumba untuk mendedahkan kelemahan sesama sendiri, saling melukis wajah siapa yang lebih hodoh, saling menepuk air di dulang untuk terpercik di muka sendiri.

“Jika keadaan ini berlarutan, umat Islam dan orang Melayu tidak lagi memerlukan musuh dari luar untuk memusnahkan kesucian Islam dan mencemarkan maruah bangsa,” titah baginda. -BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI