IPOH – Seramai 658 individu telah menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Kampung atau Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Perak manakala baki 170 lagi dijangka dilantik dalam masa terdekat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah keseluruhan Ketua Kampung di negeri ini adalah seramai 828 orang, namun lantikan bagi sebahagian daripadanya ditangguhkan atas beberapa faktor.
Menurutnya, beberapa muka baharu dan golongan belia turut dilantik sebagai Ketua Kampung bagi menggantikan ketua terdahulu yang telah melebihi usia 65 tahun.
“Pelantikan muka baru ramai, kerana menggantikan yang lama atas faktor usia. Tetapi hendak lantik orang baharu ini kita kena lebih berhati-hati dan dia (Ketua Kampung) mestilah pemastautin di kampung itu.
“Ketua Kampung adalah pegawai kerajaan paling bawah dalam struktur pentadbiran negeri, dan kediaman mereka mestilah berada dalam kampung yang dipimpin,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Simposium Komuniti Orang Asli Negeri Perak 2025 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani turut memaklumkan pelantikan kali ini turut melibatkan golongan belia dan wanita.
“Contohnya di Lenggong, kita ada lantik Ketua Kampung berusia 31, 32 dan 33 tahun. Ini penting untuk wujudkan kolaborasi antara muka lama dan muka baharu. Wanita juga ada dilantik, walaupun bilangannya tidak ramai,” jelasnya.
Berhubung pelantikan berdasarkan parti politik, Saarani memaklumkan tiada kuota khusus ditetapkan, sebaliknya ia berdasarkan cadangan parti dalam kerajaan.
“Ketua Kampung ini datang daripada pelantikan atau cadangan oleh parti kerajaan, maka ada Ketua Kampung daripada UMNO mewakili BN (Barisan Nasional), dan juga Pakatan Harapan.
“Ada daripada Amanah (Parti Amanah Negara), PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan DAP pun ada,“ ujarnya.
Katanya, apa yang penting, Ketua Kampung yang dipilih mestilah layak dan mampu berkhidmat dengan baik kepada rakyat.
Sebelum ini, Saarani dilaporkan berkata, Perak akan melakukan pelantikan baharu Ketua Kampung pada 1 Jun selepas tempoh mereka dilantik telah mencapai dua tahun pada 31 Mei lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
80 peratus pelantikan ketua kampung di Perak sudah dipersetujui