GERIK – Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak yang dilaksanakan di daerah Hulu Perak, di sini, hari ini mengambil pendekatan menyeluruh membabitkan ibu bapa dan anak-anak dalam usaha membasmi kemiskinan secara holistik.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, pendekatan melibatkan dua generasi itu diyakini mampu memutuskan rantaian kemiskinan turun-temurun melalui pembangunan insan dan bantuan bersepadu.
Menurutnya, antara pengisian utama program termasuklah modul rohani, pendidikan, latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kesihatan dan bantuan sosial.
“Program seperti ini memberi ruang kepada peserta membina semula keyakinan dan masa depan lebih baik dengan sokongan pelbagai pihak.
“Reruai bantuan dan padanan pekerjaan melibatkan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan swasta turut diadakan bagi memberi peluang kepada ibu bapa dan pelajar untuk mendapatkan maklumat serta bantuan secara terus.
“Pada masa sama, membuka ruang untuk mereka mencari peluang pekerjaan atau latihan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian program tersebut di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Gerik pada Isnin.
Beliau berkata, menerusi demonstrasi kemahiran oleh GiatMARA, KEMAS dan pengusaha tempatan seperti Batik Gerik peserta dapat merasai sendiri pengalaman dalam bidang kemahiran dan kraftangan.
“Ini bukan sahaja mencetuskan minat, bahkan boleh menjadi titik mula kepada kerjaya atau pendapatan sampingan.
“Dalam usaha memberi ilmu yang praktikal kepada komuniti, beberapa kursus pendek turut dianjurkan, bersesuaian dengan keperluan semasa dan minat peserta.
“Kursus ini memberi pendedahan asas dalam bidang keusahawanan kecil, agar ibu bapa, pelajar dan peserta eKasih mampu menjana pendapatan sendiri secara berdikari,” ujarnya.
Salbiah berkata, kewujudan reruai Sejati Madani anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) mengetengahkan pelbagai inisiatif pembangunan komuniti serta pameran hasil usaha penduduk tempatan.
”Ia bertujuan untuk memberi pendedahan serta menggalakkan masyarakat setempat agar lebih cakna dan terlibat secara aktif dalam agenda pembangunan MADANI yang menekankan nilai keterangkuman dan kolaborasi akar umbi,” katanya.
Pelbagai pengisian menarik telah dirangka khusus antaranya penampilan khas daripada ikon Anak Kita Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Amin dan Abid. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
OSC Sejahtera Sosial terus berusaha ‘menoktahkan’ kelompok miskin tegar